IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang melakukan pemantauan rapi susulan laporan media berhubung isu gangguan habuk hitam yang didakwa menjejaskan kehidupan harian 500 penduduk di sekitar Tekkah, Taping, minggu lalu
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, antara langkah yang dijalankan termasuk memantau jumlah pesakit yang hadir ke klinik dengan gejala masalah saluran pernafasan atas (URTI).
“Setakat ini, tiada peningkatan mendadak terhadap bilangan pesakit yang hadir ke klinik kerajaan mahupun swasta dengan gejala URTI yang boleh dikaitkan secara langsung dengan bahan kimia atau habuk hitam yang dilaporkan.
“Walau bagaimanapun, kami akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India Dan Intergrasi Nasional Perak, A Sivanesan meninjau perkempangan projek Klinik Kesihatan Manjoi dekat sini, pada Selasa.
Walau bagaimanapun, Dr. Feisul berkata, penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik berhampiran sekiranya gejala URTI berpanjangan seperti batuk, demam atau selesema yang luar daripada kebiasaan.
Namun jelas beliau, gejala itu juga tidak hanya berpunca daripada pencemaran udara atau pendedahan kepada bahan kimia semata-mata, tetapi turut boleh disebabkan jangkitan kuman seperti influenza.
“Oleh itu, sekiranya ada penduduk yang bergejala, penting untuk mereka hadir mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan segera,” jelasnya.
Pada Selasa lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dilaporkan menerima lima aduan rasmi berhubung pencemaran atau gangguan habuk hitam membabitkan lebih 100 rumah di sekitar sekitar Taman Tekkah Permai dan Taman Tekkah Jaya, di Taiping.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, susulan daripada aduan pertama yang diterima pada 5 Ogos, pihaknya melakukan pemantauan di lapangan serta mengumpul sampel untuk dianalisa Jabatan Kimia.
Kata beliau, berdasarkan kepada siasatan awal dan pemantauan kualiti udara, pihaknya mengesyaki pencemaran udara itu berpunca daripada sebuah kilang berhampiran dengan taman perumahan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang disyaki punca pencemaran habuk hitam, jejas 500 penduduk