IPOH – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh – Lumut pada Sabtu lalu.
Video kemalangan yang tular di platform media sosial itu memaparkan sebuah lori membelok ke kiri selepas terlepas simpang sebenar sewaktu lampu isyarat bertukar hijau.
Mangsa, Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, maut di lokasi manakala isterinya, Azizah Mat Jamat, 61, patah kaki kiri dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari arah Batu Gajah ke Ipoh.
“Bagaimanapun, ketika tiba di Jalan Ipoh – Lumut, pemandu lori terbabit menukar laluan dari lorong kanan masuk ke lorong kiri sebelum motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah belakang melanggar bahagian tepi lori berkenaan.
“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal jenis C100 maut di lokasi manakala pembonceng cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lesen kenderaan barangan (GDL) pemandu lori, cukai jalan dan insurans kenderaan tersebut masih berkuatkuasa namun motosikal yang dinaiki mangsa tidak memiliki cukai jalan serta insurans sudah tamat tempoh.
“Kedua-dua kenderaan berkenaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


