LUMUT – Garis panduan governan dan kod etika bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sedang disediakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), tidak melibatkan sebarang penguatkuasaan undang-undang.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, sebaliknya dokumen yang kini sudah memasuki fasa akhir pembangunan dengan status pencapaian 90 peratus itu merupakan garis panduan kepada pemain industri dalam bidang AI.
“Sekarang kita diperingkat akhir dan ia akan dilancarkan pada bulan depan di mana terdapat tujuh skop (prinsip) dalam garis panduan dan kita tengok dari semua sudut.
“Ini kerana dokumen itu merupakan garis panduan supaya pemain industri faham bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesalahan serta perkara yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Pemukiman Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, di Pangkor Village Beach Resort, Pulau Pangkor, di sini pada Ahad.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri; Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; Ketua Wanita PKR Perak, Zuraidah Zakaria; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly dan pimpinan negeri yang lain.
Ditanya mengenai tujuh prinsip AI yang sedang dibangunkan, Lih Kang berkata, pihaknya akan mengumumkan perkara berkenaan semasa pelancarannya pada April ini.
Terdahulu MOSTI dalam satu kenyataan memaklumkan garis panduan governan dan kod etika bagi AI sudah memasuki fasa akhir pembangunan dengan status pencapaian 90 peratus.
Menurut kementerian itu, berdasarkan garis masa pembangunannya, dokumen berkenaan dijadual dibentangkan di Kabinet bulan ini sebelum dilancarkan pada April 2024. – MG Perak