GEA berhasrat jadi pengutip minyak masak terpakai terbesar di Malaysia

MASIH ramai masyarakat kurang cakna terhadap kepentingan pelupusan minyak masak terpakai (UCO) dengan cara bertanggungjawab yang mampu memberi impak positif kepada alam sekitar.

Kebanyakkan orang bertindak membuang UCO kerana tidak tahu ia boleh menjana pendapatan tambahan.

Selain boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel, bahan tersebut juga boleh digunakan untuk membuat sabun, lilin dan pencuci.

Menyedari perkara itu, Biovisma Sdn Bhd atau dikenali sebagai Green Energy Asia (GEA) tampil menyediakan jalan penyelesaian beretika dalam menguruskan UCO serta memperkenalkan amalan pengurusan sisa yang lebih mampan dan mesra alam.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Pekerja Green Energy Asia sedang menimbang minyak masak terpakai ketika tinjauan lensa MG Perak di Kampung Gugusan Manjoi, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

Berpangkalan di Kawasan Perindustrian Rima Lahat, Ipoh, GEA yang beroperasi sejak April 2022  komited dalam menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar Perak

Antara PBT yang menjadi rakan strategik GEA adalah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Majlis Perbandaran Manjung (MPM dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).

Setakat ini, GEA telah memberikan khidmat kepada 2,352 premis perniagaan yang memerlukan dengan 713 tan UCO berjaya dikutip dan diselamatkan daripada terbuang ke tapak pelupusan sampah atau dikitar semula menjadi minyak.

Daripada kutipan itu, sebanyak RM2.17 juta imbuhan berbentuk wang telah diberi manfaat kepada pelupus UCO di sekitar Perak sejak diperkenalkan pada 2022.

Eksekutif Tanggungjawab Sosial Korporat dan Pematuhan GEA, Zuraidah Md Noor berkata, penubuhan GEA mencerminkan komitmen syarikat yang menyokong usaha-usaha pengurangan kesan alam sekitar dengan memanfaatkan UCO untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Menurutnya, kewujudan GEA juga adalah untuk menjadi entiti pengutip UCO yang lebih telus dan bertanggungjawab.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Eksekutif Tanggungjawab Sosial Korporat dan Pematuhan Green Energy Asia, Zuraidah Md Noor ketika temubual bersama MG Perak di Kawasan Perindustrian Lahat, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

“Ini disebabkan terdapat pengutip haram yang memproses semula UCO menjadi minyak dan dijual semula ke dalam pasaran hanya untuk mengaut keuntungan lebih tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan awam.

“Pembuangan sisa UCO yang tidak beretika juga menyebabkan longkang serta sistem perparitan tersumbat sehingga berlaku banjir kilat yang memusnahkan harta benda orang awam sepertimana yang terjadi di Fair Park Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual MG Perak bagi slot Dimensi di Gudang GEA di Kawasan Perindustrian Rima Lahat, Ipoh baru-baru ini.

GEA diperakui ISCC, dapat kebenaran MPOB

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraidah memaklumkan bahawa GEA telah diperakui oleh International Sustainability & Carbon Certification (ISCC) dari Eropah yang mengiktiraf komitmen syarikat dalam melupuskan UCO secara beretika dan mampan.

Tambahnya, GEA turut diberikan kebenaran melalui lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Masak Malaysia (MPOB) untuk menjual, membeli, menyimpan dan mengeksport produk serta sisa minyak sawit.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Pekerja Green Energy Asia menyedut minyak masak terpakai ketika tinjauan lensa MG Perak di Kampung Gugusan Manjoi, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

“Keistimewaan GEA adalah terletak kepada pengurusan data, khidmat pelanggan dan perkhidmatan yang cekap serta pantas.

“Sejarah kutipan setiap premis membolehkan GEA menjangka kutipan yang seterusnya, memberikan kami satu langkah ke hadapan sebelum dipanggil untuk membuat kutipan.

“Data-data kutipan ini dikongsikan kepada rakan strategik PBT yang terlibat supaya mereka dapat mengawasi dan mengetahui premis-premis yang telah melupuskan UCO mereka dengan betul,“ jelasnya.

Ujarnya, GEA turut mengambil inisiatif dalam memberi kesedaran awam mengenai amalan pengurusan sisa yang beretika kepada komuniti, termasuk badan kerajaan, sekolah, masyarakat awam, dan badan korporat.

Terima pengiktirafan dalam dan luar negara

Zuraidah berkata, GEA telah berjaya menerima beberapa pengiktirafan di atas pencapaian dalam usaha untuk memelihara alam sekitar dan memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Pada tahun 2023, kami telah menerima anugerah CSR Malaysia Awards 2023 sebagai Syarikat Terbaik Pemeliharaan Alam Sekitar, yang mengiktiraf syarikat kami dalam menjaga kelestarian alam sekitar melalui pengurusan UCO secara beretika dan mampan.

“Selain itu, GEA juga meraih anugerah The Bizz Hybrid Awards 2023 sebagai Syarikat Inspirasi 2023 di Portugal yang mengiktiraf prestasi dan pencapaian syarikat dalam sektor pengurusan sisa dan pemeliharaan alam sekitar di peringkat antarabangsa.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Pekerja Green Energy Asia sedang menimbang minyak masak terpakai ketika tinjauan lensa MG Perak di Kampung Gugusan Manjoi, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

“Terbaharu, kami telah dianugerahkan Company of the Year Award 2024 untuk Environmental Sustainability yang mengiktiraf usaha berterusan GEA dalam mengamalkan kelestarian alam sekitar dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Anugerah-anugerah yang diterima ini  membuktikan dedikasi dan komitmen kami untuk mencipta persekitaran yang lebih bersih dan maju,” katanya.

Berhasrat jadikan GEA pengutip UCO terbesar di Malaysia

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Zuraidah berkata, GEA berhasrat untuk menjadikan jenamanya sebagai pengutip UCO terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Pada tahun ini, kami merancang untuk meluaskan jenama dan rangkaian kutipan di seluruh Perak dengan Ipoh sebagai hub bagi pengumpulan utama.

“Kami juga sedang meneroka dan menggalakkan setiap premis untuk menghasilkan ‘zero waste’, bukan sekadar memproses UCO malah sisa makanan juga sedang kami terokai untuk dikitar semula menjadi bahan mentah berharga,” ujarnya.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Pengurus Operasi Green Energy Asia, Ahmad Husaini Mohd Basir, 36, melakukan kerja penapisan minyak masak terpakai ketika tinjauan lensa MG Perak di Kawasan Perindustrian Lahat, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

Beliau berkata, pada tahun ini juga pihaknya merancang untuk mendapatkan jumlah kutipan sebanyak 100 tan sebulan.

“Ini tidak mustahil jika kita mendapat sokongan serta perhatian daripada pihak-pihak berkepentingan, seperti PBT, pemilik restoran dan yang berkaitan,” jelasnya.

Peniaga makanan boleh tambah keuntungan dengan menjual UCO

Sementara itu, Pengurus Ayam Goreng Furaido Cawangan Manjoi, Mahmud Lawi, 42, berkata, gerai ayam goreng tersebut telah berurusan dengan GEA sejak Julai tahun lalu.

Katanya, salah satu manfaat yang diperolehi daripada hasil penjualan minyak masak terpakai ini adalah membantu peniaga dalam menampung keuntungan.

GEA berhasrat jadi pengutip UCO terbesar di Malaysia
Pengurus Ayam Goreng Furaido Cawangan Manjoi, Mahmud Lawi, 42 (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pembangunan Perniagaan Green Energy Asia, Muhammad Aswad Abdul Rashid (kanan) di Kampung Gugusan Manjoi, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JANUARI 2025.

Kita sudah berurusan dengan GEA sejak Julai 2024 dan kutipan dilakukan seminggu sekali dengan jumlah keseluruhan setiap cawangan lebih kurang 150 kilogram (kg).

“Sehubungan itu, saya amat menyarankan peniaga lain supaya menjual balik minyak masak terpakai kepada GEA supaya kita dapat menjaga bumi untuk tatapan generasi masa hadapann,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI kutip hampir 300 tan metrik e-sisa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI