TANJUNG MALIM – Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) dengan kerjasama Proton Holdings Berhad (Proton) berhasrat untuk membangunkan Institut Teknologi Lanjutan (ATI) di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Perkara itu selaras dengan pengiktirafan Tanjung Malim sebagai Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) negara.
PSAS dalam satu kenyataan memaklumkan, hasrat itu dinyatakan menerusi satu pertemuan yang dipengerusikan Pengarah PSAS, Mohd Zulkefli Ibrahim, pada Selasa.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Geely Holding (Malaysia), Dr Wei Mei; Ketua Program Pusat Bakat AHTV, Dr Lu Xi; Naib Presiden Modal Insan dan Pentadbir Proton, Amran Mohd Tomin dan CEO GTEX Asia Sdn Bhd, Mike Lee Kuan Peng.
Menurut kenyataan tersebut, ATI akan menyediakan ekosistem latihan komprehensif serta membangunkan institusi penyampaian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi dalam menyokong Malaysia mencapai Dasar TVET Negara 2030.
“Institut tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran praktikal dalam memenuhi permintaan sektor automotif.
“Pembangunan ATI akan menjadi platform pertukaran kepakaran termasuk pemasaran automotif, peralatan pintar, automotif, pembuatan, penyelidikan dan pembangunan automotif oleh AHTV, Proton, Geely dan institusi rakan kongsi di China untuk bekerjasama dengan PSAS.
“Pada masa sama, ia mampu menambah dan meningkatkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS),“ jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menjelaskan, pembangunan AHTV memberi tumpuan kepada teknologi dan sistem baharu dalam sektor automotif global seperti elektrifikasi, Kecerdasan Buatan (AI), teknologi autonomi dan ketersambungan lebih baik.
“AHTV adalah projek besar berimpak tinggi yang akan meningkatkan industri automotif negara selain pemangkin untuk menggiatkan semula pasaran sektor automotif negara.
“Pelaksanaan projek dan perancangan pembangunan ATI ini telah menzahirkan komitmen PSAS dalam merealisasikan Dasar TVET Negara 2030 serta menjadi salah satu institusi yang komited dalam merancakkan serta menjadi penyumbang kepakaran kemahiran industri automotif.
“Menerusi ATI, PSAS akan menjadi hab latihan untuk sumber guna tenaga di AHTV dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan automotif,“ ujarnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan semua pihak yang terlibat dalam pertemuan pada hari ini bersetuju memuktamadkan kolaborasi dengan satu perjanjian persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat. – MG Perak
Artikel Berkaitan: