LENGGONG – “Saya berasa gembira kerana bukan semua orang terpilih untuk memiliki kediaman sendiri di bawah Program Rumah Mesra Rakyat,” kata Noor Alia Mohd Rosli.
Nor Alia, 29, berkata, dia memohon projek Rumah Mesra Rakyat pada Disember 2021 dan rumah itu siap sepenuhnya pada akhir tahun lalu.
Guru Tadika KEMAS Kampung Luat itu berkata, mereka sekeluarga akan berpindah ke rumah baharu tersebut pada pertengahan bulan ini.
“Kita memang ada tanah, tetapi tiada kemampuan untuk membina rumah, jadi kita lihat inisiatif Yayasan Perak dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menawarkan program RMR.
“Selepas itu, kita cuba mohon pada Disember 2021 dan prosesnya agak cepat. Pada bulan Jun, peguam datang untuk melihat tapak rumah.
“Bagaimanapun, disebabkan kekangan kontraktor yang bertukar, rumah itu mula dibina pada 2023 namun siap dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat Perakku Prihatin yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Kampung Banggol Batu, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Noor Alia berkata, sebelum ini keluarganya menyewa di Taman Kota Tampan sejak tahun 2020.
“Sekarang saya membayar sewa RM350 sebulan tetapi untuk rumah baharu ini saya hanya perlu membayar sekitar RM325 sebulan dan lebih berbaloi sebab rumah sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Yayasan Perak berkata, seramai 147 keluarga di seluruh Perak telah mendapat rumah pertama melalui bantuan pinjaman perumahan tanpa faedah ini.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak supaya setiap rakyat memiliki kediaman yang selesa dan kondusif sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Yayasan Perak juga amat komited dalam merealisasikan sasaran Sejahtera Sosial bagi mencapai agenda Perak Sejahtera 2030,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Gembira terpilih miliki Rumah Mesra Rakyat […]