Gempa bumi: Malaysia hantar bantuan ke Myanmar, Thailand

KUALA LUMPUR – Malaysia menawarkan penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa gempa bumi di Myanmar dan Thailand serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia komited dalam membantu negara-negara yang terjejas.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia telah mengatur gerak Pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) ke Myanmar dan pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon hari ini sekitar jam 1 tengah hari bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan.

“Pada masa yang sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Beliau turut merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam Malaysia terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar serta memberi impak besar kepada negara jiran Thailand.

Katanya, kejadian ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.

Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini, dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” tambah Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI