IPOH – Genap 100 hari memegang amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir menyifatkan tempoh berkenaan sebagai satu pengalaman penuh cabaran, pembelajaran serta peluang bermakna untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurutnya, setiap aduan dan isu yang dibangkitkan oleh penduduk setempat diambil serius bagi memastikan suara rakyat Ayer Kuning terus didengari dan kebajikan mereka terbela.
“Alhamdulillah, genap 100 hari saya diberi amanah mewakili rakyat kawasan Ayer Kuning. Tempoh ini cukup memberi makna penuh cabaran, pembelajaran, dan yang paling penting, peluang untuk berkhidmat kepada rakyat yang saya kasihi.
“Setiap langkah, setiap program, setiap aduan yang disuarakan oleh penduduk semuanya saya ambil serius demi memastikan suara rakyat Ayer Kuning terus didengari dan kebajikan mereka terus terbela.
“Dari lawatan lapangan, menyelesaikan isu setempat, sehinggalah merancang pembangunan masa depan, semuanya saya lakukan dengan penuh iltizam,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh masyarakat setempat.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan dan terima kasih atas sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat. Perjalanan ini masih jauh, namun dengan semangat dan doa semua, saya yakin kita mampu mencipta perubahan yang lebih baik.
“Mari terus bekerjasama, bersatu hati dan melangkah ke hadapan demi Ayer Kuning yang lebih sejahtera dan bermakna untuk semua,” tambahnya.
Pada 31 Julai lalu, Mohamad Yusri telah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Majlis angkat sumpah tersebut menyaksikan beliau secara rasmi memulakan tugas sebagai ADUN selepas memenangi kerusi tersebut Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: