PARIT – Meskipun baharu keluar dari penjara Januari lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun nekad kembali melakukan jenayah membabitkan kecurian motosikal sekitar Perak Tengah, Manjung dan Ipoh.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, suspek yang dikenali sebagai Muncung bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis bersama 10 lagi ahli kumpulan antara 29 Mac sehingga 2 April lalu.
Menurut beliau lelaki dengan 12 rekod jenayah itu juga disyaki merupakan ketua kumpulan dikenali sebagai Geng Muncung yang aktif mencuri motosikal jenis Yamaha 125ZR Dan Y15ZR.

Katanya, tangkapan dibuat ekoran laporan polis yang dibuat salah seorang mangsa pada 22 Mac lalu memaklumkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya didapati telah hilang di hadapan salah sebuah kedai makan di Seri Iskandar.
“Sehubungan itu, pada 29 Mac hingga 2 April sepasukan pegawai Dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah membuat tangkapan.
“Seramai 11 lelaki Melayu yang dipercayai terlibat dalam kes ini ditangkap sekitar kawasan Perak Tengah, Manjung dan Ipoh di mana semua suspek berusia 21 hingga 46 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di IPD Perak Tengah, di Seri Iskandar, di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, hasil penahanan kesemua suspek pihak polis berjaya merampas lima buah motosikal yang telah dilerai komponen enjin dan alat ganti motosikal.
“Selain itu pihak polis juga menemui packet plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.56 gram semasa tangkapan terhadap salah seorang suspek.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah meleraikan motosikal curi untuk diambil komponen dan alat ganti sebelum membuang rangka kenderaan tersebut ke dalam sungai bagi melupuskan bukti.
“Kumpulan ini bergerak aktif sejak Januari lalu dan menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha Y15ZR.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, kita telah berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang dilaporkan hilang di tiga daerah iaitu Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya.
Hafezul Helmi turut menasihati orang ramai agar menambah keselamatan ke atas motosikal masing-masing bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran pencuri. -MG Perak


