KUALA LUMPUR – Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) berpaksikan fahaman ekstremis menggunakan platform Facebook, WhatsApp dan Telegram untuk menyebarkan fahaman tersebut dalam kalangan warganegara Bangladesh yang bekerja di negara ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman mengesan beberapa akaun Facebook menyebarkan propaganda itu menggunakan alamat IP di Malaysia dan dikendalikan warga asing itu.
“Mereka menggunakan platform media sosial sebagai medium untuk menyebarkan fahaman radikal dan ekstrem sekali gus menarik lebih ramai penyokong.
“Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram digunakan secara meluas untuk menyebarkan propaganda, kita percaya mereka aktif kira-kira setahun lalu.
“Platform ini juga digunakan untuk melaksanakan proses baiah serta menyusun aktiviti secara rahsia termasuk sesi taklimat dan juga perjumpaan ahli.
“Ahli-ahli yang telah melafazkan baiah dalam talian akan bertanggungjawab sebagai ketua dan kepada sel baharu yang diwujudkan di kawasan tentu bagi memperluaskan pengaruh dan gerakan tersebut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada 27 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Sebahagian daripada 36 warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti militan di negara ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain itu, kata Khalid, GRMB akan menggunakan aplikasi Touch&Go, BCash serta perkhidmatan pengantaraan wang antarabangsa bagi aktiviti pengumpulan dana untuk menyokong operasi militan itu.
“Dana itu disalurkan ke Syria atau IS dan juga ke Bangladesh. Kita masih lagi dalam siasatan.
“Kita tidak boleh mendedahkan jumlah-jumlah tersebut kerana peringkat ini berada di mahkamah.
“Nama-nama individu terlibat, latar belakang, keluarga dan sebagainya serta jumlah-jumlah wang terlibat kita masih lagi di peringkat siasatan dan memerlukan masa untuk kita mendapatkan maklumat-maklumat lebih lanjut.
“Walaubagaimanapun, ingin saya tegaskan memang terdapat sejumlah wang yang telah dihantar ke negara asal,” katanya.
Jelasnya, setakat ini gerakan militan tersebut tidak menglibatkan rakyat tempatan dan propaganda itu disebarkan hanya dalam kalangan warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia.
“Ini adalah solely dalam kumpulan yang ditubuhkan melalui WhatsApp group, Telegram dalam kalangan warganegara Bangladesh yang bekerja di sini.
“Gerakan militan ini tertumpu kepada warganegara Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.
Ditanya tentang jumlah sumbangan dana, Khalid berkata, gerakan itu tidak menetapkan jumlah tertentu kepada ahli, sebaliknya Bukit Aman mengesan bayaran yang dibuat antara RM100 hingga RM150 telah dibuat sebelum ini.
“Untuk menjadi ahli dalam kumpulan ini, bayaran lebih kurang RM500 setahun manakala sumbangan-sumbangan daripada ahli-ahli adalah bergantung kepada kemampuan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette