IPOH – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak akan memberi tumpun kepada usaha membantu kerajaan negeri berhubung masalah keciciran dalam kalangan pelajar sekolah.
Pengerusinya, Mohamad Faizal Haramaini berkata, usaha itu bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah siang tadi, yang mahukan usaha pembangunan modal insan diberikan fokus sepenuhnya.
“Antara inisiatif yang akan digerakkan adalah membantu Kerajaan Negeri Perak untuk menyelesaikan masalah keciciran 2M iaitu membaca dan menulis.
“Malah, akan turut mengadakan program motivasi kepada pelajar-pelajar yang tidak mahu ke sekolah supaya mereka tidak mengalah untuk menimba ilmu pengetahuan dalam segenap bidang yang diceburi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, Mohamad Faizal berkata, pihaknya juga menjunjung dan akan memperjuangkan titah baginda yang mengingatkan agar ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.
“GPMS Perak juga menjunjung kasih atas kesudian Tuanku melantik Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh sebagai Ahli Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Kesudian baginda Tuanku untuk terus-menerus mengurniakan uslub untuk belia memimpin, amat kami sanjung,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belia aset utama negara, perlu diempang secara produktif – Sultan Perak