Graduan pengiklanan, pendidikan awal kanak-kanak UPSI jadi rebutan majikan

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kecemerlangan apabila dua program utamanya iaitu Pengiklanan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak diiktiraf untuk menerima Employers’ Choice Award 2025.

Anugerah berkenaan diterima daripada Talentbank melalui penarafan rasmi dalam Talentbank’s National Graduate Employability Index (GE Index 2025) baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan ini diberikan berdasarkan penarafan kebolehpasaran graduan mengikut bidang pengajian.

Beliau berkata, ia menjadi rujukan penting kepada lepasan sekolah dan ibu bapa dalam memilih institusi pengajian tinggi yang menjanjikan peluang kerjaya lebih cerah selepas tamat pengajian.

“GE Index memberi keutamaan kepada bidang pengajian yang selari dengan keperluan industri semasa, dengan tujuan memastikan pelajar memilih program pengajian yang memberikan nilai tambah sebenar kepada masa depan kerjaya mereka.

“Pemeringkatan ini, menampilkan institusi yang mempunyai rekod cemerlang dalam melahirkan graduan yang bersedia kerja (job-ready graduates),” katanya.

Tambah Md Amin lagi, graduan UPSI dalam bidang Pengiklanan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak masing-masing menerima penarafan tertinggi, iaitu enam bintang, menjadikan kedua-dua program ini antara yang paling diyakini oleh industri dari segi kebolehan, daya tahan dan kesediaan profesional.

Katanya lagi, pengiktirafan tersebut membuktikan UPSI kekal sebagai pilihan utama dalam membentuk graduan berkemahiran tinggi, bersahsiah, dan bersedia menyumbang kepada masyarakat dan industri.

“Penilaian ini turut menyumbang kepada peningkatan reputasi institusi di peringkat nasional dan antarabangsa, keyakinan majikan dalam merekrut graduan UPSI, keutamaan pemilihan dari kalangan pelajar dan ibu bapa serta kejayaan alumni yang mencipta impak di pelbagai sektor kerjaya,” katanya.

Pengiktirafan itu turut membuktikan kejayaan UPSI dalam mengukuhkan kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan hanya melahirkan bakal pendidik, malah menghasilkan graduan berwibawa yang menjadi pilihan strategik pihak industri.

Hadir menerima sijil pengiktirafan berkenaan Pengarah EDGE, Profesor Madya Dr. Sharul Effendy Janudin; Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor; Wakil Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, serta Penyelaras Program Rekabentuk (Pengiklanan), Dr. Nor Hazlen Kamaruddin. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI