KERAJAAN Negeri Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan melalui pelaksanaan Green Tech Perak 2025 sebuah inisiatif di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.
Program di bawah naungan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim menjadi manifestasi kepada merealisasikan agenda Perak Sejahtera 2030, khususnya Prinsip 3 iaitu penggunaan sumber secara mampan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurut Teh, inisiatif ini memperkukuh usaha kerajaan negeri bagi mempercepat peralihan tenaga hijau serta memperluas ekonomi berasaskan inovasi, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Program ini menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, komuniti dan belia bagi memperkukuh kefahaman terhadap tenaga boleh baharu, inovasi hijau dan ekonomi kitaran yang menjadikan Perak antara peneraju utama tenaga hijau di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara penanaman anak pokok hutan hujan sempena program Green Tech Perak 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini pada Sabtu.

Perak tekad gerakkan transformasi hijau
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan terjemahan nyata kepada prinsip utama dalam Perak Sejahtera 2030.
“Prinsip 3 menyeru kita untuk menggunakan sumber semula jadi secara mampan dan bertanggungjawab.
“Melalui Green Tech Perak 2025, prinsip itu diterjemah kepada gerakan yang hidup dan menyeluruh, melibatkan pelajar, industri dan masyarakat. Masa depan kita bergantung pada sejauh mana kita berinovasi secara beretika hari ini,” ujarnya.
Tambahnya, program tersebut juga berperanan penting dalam memupuk kesedaran serta membentuk generasi baharu yang celik sains, inovatif dan prihatin terhadap alam sekitar.
“Dengan memperkasakan masyarakat melalui sains, teknologi dan inovasi, kita sedang membentuk Perak yang berdaya saing dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta bersedia menghadapi peluang ekonomi hijau masa hadapan,“ jelasnya.
PKNPk perkasa agenda SDG dan ESG
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi PKNPk terus memperkukuh pelaksanaan SDG melalui strategi yang menggabungkan teknologi, peluang pekerjaan dan tanggungjawab sosial.
Katanya, usaha tersebut merangkumi penyediaan pekerjaan berkualiti, pemerkasaan tenaga bersih, penggalakan inovasi serta pengurangan ketidaksamaan ekonomi.
“Melalui pusat Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), PKNPk mengadaptasi penanda aras Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menilai risiko iklim dan memantau data masa nyata untuk penggubalan dasar adaptif berdasarkan bukti.
“LuMIC turut memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai matlamat SDG seperti membangunkan program pendidikan industri inklusif untuk belia di bawah SDG 4 dan 5, memperluas penjanaan tenaga solar dan hidrogen selaras dengan SDG 7, serta mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan dan latihan semula tenaga kerja tempatan di bawah SDG 8.
“Selain itu, SDG 9 diperkukuh dengan penubuhan Hab Inovasi Maritim, manakala SDG 10 dan 17 diperkasakan melalui usaha mengurangkan ketidaksamaan ekonomi serta memperkukuh kerjasama antarabangsa bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Port of Antwerp Bruges melalui pelaburan hijau serta perkongsian global,“ jelasnya.
Perak sebagai peneraju tenaga hijau negara
Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq berkata, pelan hala tuju tenaga boleh baharu PKNPk yang dirangka bersama rakan strategik turut memberi tumpuan kepada pengembangan projek mini hidroelektrik, tenaga hibrid hidro-solar dan pemasangan solar di taman perindustrian.
Ujarnya, langkah ini menjadi tunjang kepada pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat membina negeri yang lebih bersih, pintar dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.
“Green Tech Perak 2025 bukan permulaan perjalanan kita, tetapi kesinambungan daripada usaha yang telah lama dijalankan oleh PKNPk yang meliputi projek tenaga hidro, zon tenaga solar dan pembangunan infrastruktur mampan yang seiring dengan visi Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa nilai ESG akan terus menjadi teras setiap pembangunan yang diterajui PKNPk.
“Matlamat kami ialah untuk membuktikan bahawa kemajuan dan pemeliharaan boleh bergerak seiring.
“Menerusi pendekatan dan kerjasama yang tepat, kita mampu membina Perak yang berkembang secara bertanggungjawab, berinovasi secara berterusan dan mampan untuk generasi akan datang,“ jelasnya.
Pra-pelancaran Green Tech Perak 2025 akan diadakan dari 25 hingga 28 Oktober ini di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang menekankan nilai kelestarian dan sains hijau.
Program ini adalah langkah awal ke arah Persidangan dan Pameran Green Tech Perak 2025 yang akan diadakan pada Disember depan, menghimpunkan pakar global, pemain industri dan pembuat dasar bagi memperkukuh perbincangan mengenai tenaga boleh baharu, inovasi ESG dan pelaburan mampan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sungai Perak bertukar biru: Keputusan sampel air dijangka diketahui Isnin



