ALUNAN muzik retro era 80an serta pancaran bola disko menggamit pengunjung untuk singgah ke ‘Groovy Coffee‘, perniagaan kopi menggunakan sebuah van yang terletak di perkarangan Karat Cafe, di Jalan Sultan Abdul Jalil, Pusat Perdagangan Greentown, Ipoh.
Pemiliknya, Amir Zainuddin, 25, berkata, idea untuk menjalankan perniagaan kopi tercetus selepas dia bersama abangnya, Muhammad Aideed Zainuddin, 29, merasakan orang muda pada masa kini gemar menjadikan kopi sebagai medium untuk berkumpul dan meluangkan aktiviti bersama.
Groovy Cafe ini berkonsepkan ‘80’s pop‘ kerana dia amat meminati muzik pada era tersebut dan menterjemahkan elemen funky dan disko ke kedai kopi kecil mereka itu.
Elemen muzik dan kopi disatukan
Anak muda berasal dari Manjung ini berkata, mereka mula membuka van kopi ini di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo sebelum berpindah ke Karat Cafe.
”Kami mula beroperasi pada Februari tahun ini. Keistimewaan Groovy Coffee adalah kami menyatukan elemen muzik dan kopi di ruang terbuka seperti di tapak perkhemahan.
”Konsep ini menarik semua orang untuk lepak dan bersantai sambil menikmati muzik serta mendengar lagu yang dipasang di sini.
”Setiap minggu kami akan menyediakan senarai lagu mengikut genre berlainan dan suasana itu yang membuatkan tempat kami berbeza dengan kedai kopi lain. Setiap pengunjung dapat mendengar muzik yang diminati sambil minum kopi,“ katanya ketika ditemui MG Perak.
Kena cuba Groovy Berries
Dalam pada itu, Amir berkata, walaupun perniagaan itu kurang setahun beroperasi, dia tidak menyangka sambutan yang diberikan pelanggan amat memberangsangkan.
”Sambutan yang diterima sangat meriah dan kami tak sangka ramai yang datang ke sini. Anak-anak muda memang ramai yang suka suasana lepak santai sambil menikmati angin malam,” ujarnya.
Katanya, kedai kopi itu menyediakan lebih 10 jenis minuman berasaskan kopi dan bukan kopi dengan harga sekitar RM6 hingga RM14.
“Kopi yang menjadi pilihan di sini adalah caramel machiatto dan butterscotch latte dan kami juga mempunyai signature coffee iaitu groovy berries with shots.
“Selain itu, kami turut menjual soft cookies pelbagai jenis antaranya red velvet, almond cookies dan double chocolate dan kami akan masuk beberapa resipi baru untuk menampakkan kelainan,” katanya.
Rancang buka kedai fizikal pada masa hadapan
Bertanya mengenai perancangan masa depan, Amir berkata, mereka akan fokus membina dan memperkukuhkan jenama Groovy Coffee terlebih dahulu sebelum membuka kedai fizikal.
“Setakat ini kita fokus di Ipoh dahulu di samping menyertai pop up (gerai jualan) di luar Perak. Setakat, ini kita sudah menyertai dua acara pop up Serba Serbi di Kuala Lumpur.
“Apabila ada rezeki, kami memang pelan untuk buka kedai fizikal sendiri. Kami akan tetap mengekalkan konsep sama tetapi ditambah dengan muzik piring hitam.
“Secara tidak langsung kami dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk mengimbau nostlagia dan kenangan lama serta golongan muda dapat menghargai muzik pada zaman dahulu,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Motosikal pemberian Baitulmal bawa rezeki – Koffe