KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah Global Sumud Flotilla (GSF) adalah misi kemanusiaan yang murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
Seri Paduka Baginda bertitah para sukarelawan yang terlibat di dalam misi berkenaan termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
Sultan Ibrahim bertitah, misi berkenaan merupakan contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office pada hari ini.
Terdahulu, YDPA bertitah selepas menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. -MalaysiaGazette