KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau tidak pernah menggunakan istilah ‘tuntutan’ atau demand dalam surat bertarikh 8 Disember yang dihantarnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung 10 perkara untuk diselesaikan.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, penggunaan istilah tersebut oleh beberapa media massa adalah tidak tepat kerana perkataan tuntutan tidak wujud sama ada pada bahagian awal atau akhir surat berkenaan.
“Saya tidak menggunakan istilah tuntutan atau demand dalam surat saya bertarikh 8 Disember 2025 kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan 10 perkara untuk diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Kata beliau, beberapa media massa telah mereka-reka penggunaan istilah tuntutan sedangkan ia tidak pernah digunakan dalam kandungan surat berkenaan.
Tambah beliau, penyiaran istilah tersebut adalah amat provokatif dan disifatkan sebagai satu tindakan yang sengaja mencetuskan ketegangan antara pihak terlibat, walaupun surat itu ditulis dengan penuh hormat kepada Perdana Menteri.
Menurutnya, 10 perkara dikemukakan dalam surat berkenaan banyak berkisar mengenai isu ekonomi serta peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kaum bukan Bumiputera serta Sabah dan Sarawak yang merasakan mereka tidak diberikan layanan adil yang sewajarnya selama ini.
Sehubungan itu, Guan Eng berharap media massa yang terlibat dapat bersikap bertanggungjawab dengan membetulkan laporan yang disifatkannya sebagai palsu.
“Tolong ambil iktibar dengan peranan sahih serta membuat laporan berita yang benar dan bukan sebaliknya,” tegasnya. -MalaysiaGazette


