Guna dana pengangkutan awam tingkat inisiatif keselamatan jalan raya – Gerak

KUALA LUMPUR – Pergerakan Akademik Malaysia (Gerak) mencadangkan sebahagian besar peruntukan daripada RM463 juta yang diumumkan kerajaan untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam pada Disember lalu, disalurkan kepada inisiatif keselamatan jalan raya.

Gerak dalam satu kenyataan semalam berkata, pembuat dasar perlu sedar jutaan ringgit yang diperuntukkan bukan sekadar untuk membincangkan pelaksanaan caj kesesakan atau menaik taraf kualiti pengangkutan awam.

Sebaliknya, tambah kenyataan itu, adalah penting kerajaan termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan agensi berkaitan lain menggunakan dana sedia ada untuk menangani krisis peningkatan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Ketiadaan penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan yang ketat, ujian dadah dalam kalangan pemandu komersial lori, bas dan kenderaan berat lain, serta hukuman terhadap pesalah had laju turut menyumbang kepada peningkatan kematian jalan raya di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Gerak turut mencadangkan pengembalian penggunaan kotak had laju (pembatasi kelajuan) untuk memastikan kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dipandu melebihi 90 kilometer per jam.

Tegasnya, peraturan itu perlu dikuatkuasakan dengan ketat dan pesalah had laju ditahan serta-merta serta digantung lesen memandu.

Jelasnya, bagi penguatkuasaan peraturan keselamatan jalan raya berkesan, pegawai yang bertugas mesti bebas daripada unsur rasuah dan cuai dalam menjalankan tugas.

Tegasnya, pegawai yang korup mesti dikenakan hukuman berat sama ada denda yang tinggi atau penjara atas kesalahan menerima suapan.

“Gerak berpendapat “pegawai yang menerima suapan” adalah penyumbang utama kepada peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Amalan ini mesti dihentikan. Tanpa integriti dalam kalangan penguat kuasa, bilangan pesalah jalan raya tidak akan berkurang dan lebih banyak kemalangan maut akan berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI