IPOH – Bekas Pengurus Bahagian Kemasukan Pelajar, Pemasaran dan Rekod Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Rabu, kerana menggunakan dokumen palsu perjanjian pengambilan pelajar pada enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Khalid Ka’ab, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Dalam penghakiman, tertuduh dikenakan denda sebanyak RM35,000 dan akan dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Mohd Khalid menggunakan dokumen perjanjian pengambilan pelajar antara dua buah syarikat, Institute Of Technology Petronas Sdn. Bhd. (ITPSB) dan Profedge Sdn. Bhd., bertarikh 1 Ogos 2019 dan tertuduh mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Dokumen itu dikemukakan sebagai syarikat ejen untuk mempromosikan program UTP dan merekrut pelajar dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan lokasi lain bagi program kemasukan pelajar ke universiti terbabit.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pendaftar UTP di Seri Iskandar, dalam daerah Perak Tengah pada Jun 2019.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun yang sama.
Di bawah seksyen berkenaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Izwan Abd Rahman.
Mengikut fakta kes, siasatan SPRM mendapati, tertuduh telah menggunakan dokumen perjanjian palsu tersebut bagi tujuan mendapatkan bayaran RM323,650.
Dokumen itu digunakan bagi menyokong enam invois pembayaran kepada syarikat berkenaan untuk perkhidmatan promosi dan pengambilan pelajar UTP, antara tahun 2019 hingga 2020, sedangkan perkhidmatan itu tidak pernah dilaksanakan dan pelajar yang disenaraikan tidak mendaftar melalui syarikat agen terbabit.
Hasil semakan dalaman UTP juga mendapati dokumen tersebut tidak pernah dirujuk kepada bahagian undang-undang, tidak mempunyai cop rasmi institusi dan tidak dimatikan setem. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kem AMAR IPMa platform ekspresi mahasiswa perangi rasuah