KUALA LUMPUR – Seorang guru didakwa mencetuskan kontroversi dengan memuat naik hantaran yang jelik sehingga mengguris hati ahli keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Jalan Gerik-Jeli pada Isnin lalu meminta maaf hari ini.
Sebelum itu tular di media sosial memaparkan status di Facebook milik guru itu, Khalid Yunus menyatakan kematian kesemua mangsa itu adalah sebagai dalam keadaan hina.
Bukan itu sahaja, dia turut menyatakan kesemua mangsa bukan kalangan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“15 penuntut UPSI mati dalam keadaan hina! 15 penuntut UPSI yang maut kemalangan bas ekspres bukan orang beriman kera mati dalam berhutang dengan PTPTN.
“Mana mungkin mereka orang beriman kerana tidak dibenarkan masuk syurga, suc mereka juga banyak dosa?
“Jadi, nerakalah tempat mereka iaitu tempat yang sehina-hina tempat,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette mendapati status kontroversi itu telah dipadamkan dan Khalid memuat naik satu lagi status dengan permohonan maaf kepada ahli keluarga mangsa.
Guru itu juga mendakwa dia menghidap penyakit skizofrenia iaitu sinonim dengan pemikiran yang tidak teratur dan mengalami delusi atau halusinasi pendengaran.
“Assalamualaikum. Di sini, saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI.
Semoga mereka di tempat bersama orang-orang yang beriman dan mendapat husnul khotimah,” tulisnya.
Terdahulu hantaran kontroversi itu membangkitkan rasa tidak puas hati dan kemarahan netizen serta menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap guru terbabit. – MalaysiaGazette