GXS ciptaan Fly Navy TLDM bantu kesan alat pemadam api

IPOH – Glow X Sleeve (GXS) iaitu peranti berasas cahaya yang dipasang pada alat pemadam api kecil bagi memudahkan usaha mencari peralatan berkenaan ketika kebakaran berlaku dalam keadaan gelap, khususnya di dalam kapal.

Inovasi terbaharu hasil ciptaan kumpulan Fly Navy Komander Syed Muhammad Shafiq Syed Husin, Leftenan Komander Chan Jun Shen dan Leftenan Muhammad Hazim Anuar dari Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mendapat tempat pertama Kategori Terbuka Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak 2025.

Kumpulan tersebut membawa pulang hadiah RM10,000, trofi serta sijil penyertaan dan hadiah disampaikan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

Menurut Syed Muhammad Shafiq , GXS diinspirasikan daripada pengalaman sebenar ketika situasi kebakaran di mana ruang bangunan atau kapal menjadi gelap sepenuhnya.

“Produk inovasi kami dikenali sebagai GXS, iaitu satu produk diilhamkan daripada kejadian sebenar di mana apabila berlaku kebakaran, produk ini akan memancarkan cahaya ‘luminous’ yang akan diletakkan pada alat pemadam api kecil.

“Lazimnya, apabila berlaku kejadian kebakaran, ia akan menjadi gelap sama ada di bangunan dan terutamanya TLDM yang melibatkan kapal. Alat ini akan membantu dalam mengenal pasti kedudukan alat pemadam api kecil ini ataupun apa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Dalam pada itu, Chan Jun menjelaskan bahawa silikon dipilih sebagai bahan asas kerana sifatnya yang tahan haba dan fleksibel, sekali gus mudah diaplikasikan tanpa memerlukan peralatan khas.

GXS ciptaan Fly Navy TLDM bantu kesan alat pemadam api
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim menyampaikan hadiah johan kategori Terbuka (AI Terbuka) kepada Markas Udara TLDM pada Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Konsep yang kita tekankan di sini adalah produk kos rendah, berimpak tinggi dan boleh digunakan dengan pantas.

“Selain itu, ia juga berkonsepkan ‘family of a system’, kerana ia boleh dipasangkan pada alat pemadam api kecil tanpa modifikasi pada sistem sedia ada.

“Idea tersebut diusahakan sehingga menjadi prototaip dan produk sebenar berjaya dihasilkan dalam tempoh kira-kira enam bulan,” jelasnya.

Syed Muhammad Shafiq berkata, insiden kebakaran di kapal menuntut setiap anak kapal untuk bertindak sebagai anggota pemadam api.

“Ada satu pepatah terkenal yang sering digunakan dalam tentera laut iaitu ‘Every sailor is a firefighter’.

“Di atas kapal kami tidak boleh buat panggilan bomba. Kamilah pelaut, kamilah pemadam api, kamilah bomba, kamilah segala-galanya. Itu adalah permasalahan yang nyata yang kami hadapi,” ujarnya.

Tambahnya, latihan kebakaran turut dijalankan di Unit Latihan Melawan Kebakaran (FFTU) yang mensimulasikan keadaan realistik ketika kebakaran di kapal dan alat tersebut boleh mengenal pasti kedudukan alat pemadam api kecil tersebut.

Mengulas mengenai perlindungan hak cipta, Chan mengesahkan bahawa GXS telah didaftarkan dan kini digunakan pada semua alat pemadam api kecil di bangunan Markas Udara TLDM serta di kapal KD Lekiu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh budaya inovasi, bawa ciptaan tempatan ke pasaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI