Had umur guna media sosial perlu runding dengan penyedia platform

KOTA TINGGI – Cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun akan diperhalusi melalui perbincangan bersama-sama penyedia platform.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap negara mempunyai undang-undang sendiri dalam menentukan perkara itu

Katanya, beberapa negara menetapkan had umur pengguna media sosial berbeza, ada yang memilih 13 tahun ke bawah dan ada pula yang menetapkan 16 tahun sebagai syarat minimum.

“Saya percaya perkara ini telah dibincangkan oleh Jemaah Menteri seperti yang disebut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semalam.

“Had umur yang dicadangkan adalah 16 tahun ke bawah, namun kerajaan akan berbincang lanjut dengan platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan projek pembinaan Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan Akta Online Harms berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang telah dirangka bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bahagian Undang-undang akan memperkukuh pemantauan terhadap penyedia platform sekiranya diperlukan.

Azalina berkata, kerjasama dengan penyedia platform amat penting supaya pelaksanaan dasar dapat memberi perlindungan kepada golongan muda daripada terdedah kepada kandungan berbahaya.

“Perkara yang baiknya, kita sudah mempunyai Online Harms Act yang dirangka bersama MCMC dan Bahagian Undang-undang.

“Pelaksanaan akta ini akan memperkukuh pemantauan terhadap platform media sosial apabila diarahkan oleh kerajaan,” katanya.

Semalam, kerajaan dilaporkan bercadang untuk menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kaedah pendaftaran bagi seseorang individu itu juga akan dibuat menerusi semakan dokumen rasmi kerajaan.

Fahmi berkata, cadangan itu juga akan menjadi sebahagian daripada perbincangan antara pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama platform media sosial yang akan berlangsung di Singapura minggu depan.

Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan yang berlaku baru-baru ini membabitkan pelajar sekolah khususnya berkait dengan aspek pengaruh di media sosial.

Baru-baru ini, seorang pelajar berusia 16 tahun maut ditikam rakan sekolahnya berusia 14 tahun di sebuah sekolah di sekitar Petaling Jaya.- MalaysiaGazettee

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI