KUALA KANGSAR – Hampir 250 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di tiga daerah di Perak telah diberi taklimat Program Sejati MADANI: Impian Jadi Realiti.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tiga daerah berkenaan merupakan Hulu Perak, Batang Padang dan Kuala Kangsar.
Menurut Salbiah, usaha Kerajaan Negeri Perak itu bertujuan membantu JPKK yang menerima manfaat Program Sejati MADANI untuk memastikan mereka menjalankan projek-projek peningkatan ekonomi.
“Tujuan kita mengadakan Program Sejati MADANI: Impian Jadi Realiti ini adalah di aatas kesedaran melihat pentingnya program Sejati MADANI yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada JPKK perlu ada kesinambungan.
“Jadi melalui perkara itu saya berbincang dengan SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) Negeri Perak untuk kita turun mengadakan taklimat kepada JPKK sekiranya mereka berminat untuk mewujudkan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Sejati MADANI: Impian Menjadi Realiti Wilayah Kuala Kangsar Sempena Bulan Koperasi Kebangsaan Tahun 2025 (BKK 25) di Dewan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini, pada Khamis.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Perak, Zuhaini Romli.
Salbiah berkata, dua JPKK dengan masing-masing satu di daerah Hulu Perak serta Batang Padang telah mewujudkan koperasi hasil daripada taklimat yang dijalankan.
Tambahnya, SKM Perak turut menerima permohonan mendirikan koperasi dari dua JPKK di Hulu Perak dan tiga di Batang Padang.
“Mungkin jumlahnya kecil namun jika tiada inisitif yang diadakan ini mungkin mereka (JPKK) tidak tahu bagaimana untuk mewujudkan koperasi.
“InsyaAllah kita akan teruskan lagi taklimat ini di daerah lain macam saya maklumkan dalam ucapan bahawa di Perak kita ada lebih 850 JPKK,” katanya.
Salbiah berkata, justeru itu Kerajaan Negeri Perak bersama SKM akan terus menyebarkan maklumat berkenaan betapa pentingnya penubuhan koperasi kepada JPKK. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak ambil inisiatif bantu JPKK dirikan Koperasi Sejati MADANI