KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat setakat ini selepas tiada sebarang notifikasi rasmi dikemukakan bagi menukar kedudukan beliau, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, perkara itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada jam 11 pagi tadi bagi membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Larut berkenaan.
Menurut beliau, hasil perbincangan tersebut mengesahkan tiada sebarang perubahan dibuat terhadap jawatan Ketua Pembangkang mahupun susunan tempat duduk Ahli Parlimen blok pembangkang.
“Saya jumpa dengan Speaker jam 11 pagi tadi. Bila bincang saya rujuk kenyataan dia (Johari). Setakat ini, Hamzah masih Ketua Pembangkang. Jadi dia (Johari) setuju dan saya pun setuju. Setakat ini kedudukannya begitulah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Takiyuddin turut menjelaskan bahawa, beliau tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada mana-mana Ahli Parlimen blok pembangkang berhubung cadangan perubahan kedudukan Ketua Pembangkang.
“Tak ada apa-apa notifikasi daripada kumpulan mengenai kedudukan Ketua Pembangkang. Jadi tidak ada apa. Perubahan kerusi pun tidak ada.
“Kita pun ada dua hari lagi sidang Dewan Rakyat. Jadi kita tak fikir nak buat apa-apa perubahanlah setakat ini. Masanya begitu singkat.
“Jadi kita bincang (apa-apa perubahan) pada masa sidang Parlimen lebih panjang nanti,” ujarnya.
Johari sebelum ini mengesahkan, tidak menerima sebarang pemakluman rasmi daripada blok pembangkang bagi sebarang perubahan jawatan itu.
Katanya, kedudukan ketua pembangkang masih ‘berstatus quo” (tidak berubah), kecuali pihaknya ada menerima notis hitam putih berhubung perkara itu.
Pada ahad lalu, Takiyuddin memaklumkan, Pas akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau dilaporkan berkata, perkara berhubung jawatan ketua pembangkang baharu itu dipersetujui parti komponen PN dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN.
Isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu dipecat keahliannya dari parti itu.
Susulan itu, wujud desakan dalam Bersatu sendiri yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsesus oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.
Pas ketika ini memiliki 43 Ahli Parlimen, diikuti 25 oleh Bersatu yang kini terpecah kepada dua kumpulan yang menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah. – MalaysiaGazette


