KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoal tindakan kerajaan yang berdiam diri untuk tempoh yang lama sebelum akhirnya mendedahkan kewujudan titah adendum, semalam.
Beliau turut mempertikai mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika itu tidak membuka mulut memaklumkan titah itu wujud sewaktu pendengaran kebenaran semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, tahun lalu.
Ujar Haniff Khatri, sebelum bekas Perdana Menteri memfailkan semakan kehakiman, para peguamnya terlebih dahulu mengemukakan surat-surat bertanyakan kesahihan titah berkenaan.
“Mengapa pejabat Peguam Negara, agensi-agensi lain dan kerajaan tidak menjawab bahawa titah itu wujud?
“Ketika pendengaran di mahkamah, mengapa kerajaan tidak mengakui kewujudan titah itu sehinggakan mahkamah menolaknya (kebenaran) semata-mata kerana ketiadaan keterangan terus,” ujar beliau.
Haniff Khatri menyatakan demikian dalam hantaran yang dimuat naik oleh pempengaruh media sosial, Lim Sian See dalam laman Facebooknya, hari ini.
Anwar dalam laporan media semalam mengakui surat titah daripada Agong ke-16 yang kini Sultan Pahang telah diterima oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Haniff Khatri turut tidak berpuas hati dengan tindakan Ahmad Terrirudin yang menyerahkan surat berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu, walhal ia perlu dilaksanakan segera.
“Kegagalan melaksanakan titah berkenaan yang diterima pada 29 Januari 2024, pada pendapat jujur saya adalah salah. Berdasarkan konsep pengampunan, titah YDPA ke-16 itu telah selesai dan ia perlu dilaksanakan serta merta,” ujarnya.
Katanya dalam hubungan ini, tiada keperluan dari segi perundangan bagi Peguam Negara untuk menunggu Seri Paduka ke-17 mengangkat sumpah.
Sehubungan itu, Haniff Khatri mencadangkan Majlis Raja-Raja bermesyurat bagi membincangkan keingkaran kerajaan dan pihak-pihak terlibat mendedahkan kewujudan titah adendum.
Menurut Hanif Khatri, menurut Perkara 42 Fasal 4(a) Perlembagaan Persekutuan, pengampunan oleh Agong bagi banduan di Wilayah Persekutuan tidak tertakluk kepada nasihat Lembaga Pengampunan atau mesyuarat lembaga mahupun nasihat Peguam Negara.
Beliau menjelaskan, ia berbeza dengan pengampunan bagi banduan negeri di bawah Perkara 42 Fasal 4(b) yang diterajui Raja dan Sultan yang mana keputusan dibuat atas nasihat lembaga.
Menurut Haniff Khatri jika timbul pertikaian syarat-syarat penempatan warden-warden penjara di rumah yang diperintahkan itu, perkara itu merupakan isu pentadbiran. – MalaysiaGazette