IPOH – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang guru yang mencetuskan kontroversi dengan membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya juga menunggu laporan perubatan guru terbabit sebelum dapat dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Katanya, setakat ini, polis telah merakam percakapan guru terbabit serta merampas telefon bimbit lelaki itu bagi tujuan siasatan.
“Siasatan kes ini hampir selesai dan kita hanya menunggu laporan perubatan dari Hospital Seri Manjung.
“Laporan kesihatan besar kemungkinan melibatkan aspek psikiatri yang berkaitan dengan emosi serta tingkah laku lelaki terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, pada Khamis.
Pada majlis itu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari, 52, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu.
Media pada Rabu melaporkan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat dakwaan seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkenaan nahas yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI di di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Hantaran itu mendakwa kesemua pelajar yang terkorban bukan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagaimanapun hantaran itu dipercayai telah dipadam guru terbabit melalui akaun media sosialnya, sebelum memuat naik hantaran permohonan maaf kepada ali keluarga mangsa selain mendakwa menghidap penyakit skizofrenia.
Dalam pada perkembangan sama, Noor Hisam berkata, enam individu termasuk tiga pelajar UPSI yang cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran pada 9 Jun lalu itu masih menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata, seorang pelajar dirawat di Hospital Kuala Terengganu dan dua lagi pelajar menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
“Tiga beranak iaitu wanita dan dua kanak-kanak yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sedang dirawat di Hospital Baling, Kedah,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Laporan lengkap guru hina kematian 15 penuntut UPSI akan disediakan – Exco