IPOH- Hanya 10 peratus daripada kira-kira 9,000 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Perak dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri pada tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, jumlah itu ditetapkan bagi memastikan kelancaran tugas dan keselamatan awam sentiasa terjamin sepanjang tempoh perayaan.
“Kalau ikutkan, kita cuma boleh membenarkan 10 peratus saja daripada keseluruhan petugas untuk bercuti terutamanya musim-musim perayaan.
“Beban tugas yang lebih berat ini ditanggung oleh anggota atau pegawai polis trafik dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
“Selain itu, kereta peronda polis (MPV) dan juga Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ini tetap kena bertugas seperti biasa,” katanya ketika mengulas mengenai penugasan anggota polis di negeri ini sempena musim perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Polis Daerah (KPD) serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Hilir Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Noor Hisam menjelaskan, jumlah anggota yang dibenarkan bercuti bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa.
“Macam sekarang ini saya tengok kita punya pemantauan keadaan agak baik, terkawal, inshaAllah. Tapi anggota kita boleh dikerahkan ataupun dipanggil bila-bila masa.
“Mereka (anggota) tertakluk untuk dipanggil semula untuk bertugas walaupun sedang bercuti atau dalam tempoh cuti.
“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang, polis akan sentiasa ada dan balai polis akan terus dibuka. Mereka boleh datang jika berlaku apa-apa kejadian,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


