IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti hanya 5,801 premis atau 62.2 peratus dari keseluruhan 9,321 premis di Malaysia mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) yang berkuat kuasa bagi tempoh sehingga Mac lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ir Ahmad Izram Osman berkata, jumlah itu melibatkan 5,432 premis swasta dan 369 premis kerajaan yang mempunyai FC berkuat kuasa.
“Ini bermakna masih banyak premis yang perlu diambil tindakan sewajarnya supaya semua premis berkenaan memperoleh FC.
“Sekarang baru bulan Jun, jadi kita ada tempoh setengah tahun lagi bagi memastikan premis-premis ditetapkan ini memiliki FC yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) JBPM Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Izram menjelaskan, antara usaha yang dijalankan JBPM bagi meningkatkan kadar permohonan FC adalah menerusi penggunaan sistem e-PREMIS.
“Sebelum ini, data dan rekod premis tidak didigitalisasikan sepenuhnya, menyukarkan pemantauan serta perancangan penguatkuasaan.
“Bagaimanapun, dengan penggunaan sistem digital terkini, kita dapat mengenal pasti fokus serta menentukan arah tindakan yang lebih tepat dan efisien.
“Dengan adanya e-PREMIS, kita tahu premis mana yang belum diperiksa, kategori mana yang memerlukan pemeriksaan lebih teliti, dan kawasan mana yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Katanya, sistem pendigitalan ini telah banyak membantu dalam melancarkan tugas penguatkuasaan dan memastikan standard keselamatan premis terus dipertingkat. – MG Perak
Artikel Berkaitan: