TAPAH – Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa menyemak harga benih padi sah (BPS) dari masa ke semasa dalam mengurangkan beban pesawah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sentiasa cakna dengan tuntutan yang dilakukan pesawah dalam memastikan nasib golongan berkenaan terbela.
“Memang buat masa ini harga benih padi (BPS) diturunkan RM2 tetapi kita akan dilihat dari masa ke semasa dan buat masa ini saya harap petani terima dahulu penurunan RM2 itu.
“Bagaimanapun pihak kita sentiasa peka terhadap sebarang tuntutan yang dianggap munasabah oleh para petani,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak di, Pejabat LPP, di sini, pada Khamis.
KPKM dalam satu kenyataan pada Selasa mengumumkan harga kawalan maksimum BPS akan diselaraskan kepada RM52 di peringkat borong dan RM56 bagi runcit per kampit 20 kilogram (kg) di Semenanjung berkuat kuasa 15 April 2025.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan sebelum ini harga kawalan maksimum BPS di peringkat borong ialah RM54 manakala RM58 bagi runcit per kampit 20kg.
KPKM berkata penyelarasan dibuat melalui sesi libat urus bersama pesawah dan pengeluar selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi. -MG Perak