Harga durian di Perak murah berbanding tahun sebelum – Pembeli

LENGGONG – “Harga durian betul-betul ‘runtuh’, dulu mahal sekarang bagus!”.

Itu gambaran diberikan penggemar raja buah, Eow Boon Hin, 68, mengenai harga durian yang dijual pada musim kali ini di Perak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bekas pensyarah yang kini menetap di Australia itu berkata, setiap kali musim durian dia pasti akan pulang ke Malaysia untuk menikmati buah durian terbaik dengan harga berpatutan.

Menurutnya, dia bersama isteri akan merentas di sepanjang Semenanjung Malaysia untuk mencari raja buah tersebut.

Harga durian betul-betul ‘runtuh’ - Pembeli
Pesara Pensyarah, Eow Boon Hin, 68, tidak melepaskan peluang mencuba buah durian yang dijual oleh Peniaga, Faizul Shukri Ausop, 47, ketika tinjauan MG Perak di Kampung Kelantan, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2024.

“Sekarang, semua orang boleh makan (durian). Baru-baru ini, saya makan IOI, D24, Musang King dan harganya sudah turun. Isinya juga sedap.

“Hari ini, saya bersama isteri, adik ipar dan suaminya singgah di sini untuk makan durian kampung di Kampung Kelantan, Lenggong.

“Kami makan saja asal puas, sedap. Harganya juga tidak mahal,” katanya kepada MG Perak ketika membuat tinjauan di penjualan durian di sekitar Lenggong.

Harga durian betul-betul ‘runtuh’ - Pembeli
Pengunjung dari luar negeri tidak melepaskan peluang mencuba buah durian yang dijual oleh Peniaga, Faizul Shukri Ausop, 47, ketika tinjauan MG Perak di Kampung Kelantan, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2024.

Boon Hin memaklumkan pencarian buah itu tidak terhad di negara ini sahaja dan jika ada masa dia akan ke Thailand.

“Kadang-kadang, kalau ada masa kita akan ke Hatyai kemudian naik kereta api sampai ke Bangkok dan Chiangmai untuk mencari durian.

“Bagaimanapun, durian yang paling sedap semestinya durian dari Malaysia terutamanya di Balik Pulau, Pulau Pinang. Durian Gerik pun okay,” ujarnya.

Harga jatuh bila durian luruh ‘jujuh’

Dalam pada itu, peniaga durian, Muhammad Nazri Abdullah, 34, berkata, harga durian murah atau mahal bergantung kepada bekalan buah berkenaan.

“Ada hari durian luruh jujuh banyak dan dalam sehari boleh kumpul satu tan. Tiba-tiba dalam minggu kedua kita boleh dapat sampai bekalan sehingga empat ke lima tan durian.

“Pada masa itu, apabila bekalan berlebihan dan permintaan kurang, kita akan turunkan harga buah. Durian di Malaysia luruh bukan petik jadi kita tak boleh kawal jumlah buah,” katanya yang sudah 10 tahun menjalankan perniagaan tersebut.

Harga durian betul-betul ‘runtuh’ - Pembeli
Peniaga, Muhammad Nazri Abdullah, 34, menunjukkan buah durian jenis Lipan Bara yang dijualnya ketika tinjauan MG Perak di Lubok Merbau, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2024.

Dia menjelaskan harga jualan durian kampung adalah di antara RM6 hingga RM15 sekilogram mengikut gred bergantung kepada lokasi buah itu diperolehi.

“Macam Kuala Kangsar, Batu Kurau, Lenggong murah kerana kami adalah tempat buah dikeluarkan berbanding Ipoh. Tapi harga di Kuala Kangsar dan Ipoh tak banyak beza bergantung kepada jenis durian,” jelasnya.

Durian kurang berbuah musim ini

Katanya, pada tahun ini, durian tidak berbuah lebat seperti musim sebelumnya menyebabkan dia membuat keputusan untuk tidak menjual kepada pemborong sebaliknya menjual sendiri kerana kekangan stok.

Tambahnya, faktor cuaca dan kuasa pembeli amat mempengaruhi dalam penghasilan serta penjualan buah tersebut.

“Cuaca panas terik dua, tiga bulan yang kemudiannya disusuli dengan hujan lebat mengganggu proses pendebungaan sehingga menyebabkan tanaman tidak menjadi.

“Sebelum ini, pokok durian berusia 20 ke 30 tahun boleh hasilkan antara 300 ke 400 biji buah tetapi pada musim ini pokok berusia antara 50 ke 60 tahun pun hanya mampu menghasilkan puluhan biji sahaja,” katanya.

Harga durian betul-betul ‘runtuh’ - Pembeli
Peniaga, Muhammad Nazri Abdullah, 34, melakukan persiapan menyusun buah durian di premisnya ketika tinjauan MG Perak di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2024.

Menyentuh berhubung kuasa pembeli, Muhammad Nazri berkata, harga durian yang dijual pada tahun ini tidak terlalu tinggi.

“Harga yang dijual lebih kurang RM6 ke RM12 untuk durian kampung mengikut gred, durian kahwin RM13 ke RM15 dan durian klon yang ada jenama kita jual antara RM15 ke RM25 sekilogram,” ujarnya.

Dia yang berniaga durian berhampiran stesen minyak BHP Lubuk Merbau berkata, durian yang dijual diperoleh dari kawasan berbukit serta berbatu di Kuala Kangsar dan Lenggong yang menghasilkan durian terbaik.

“Kita ada isi warna oren, kuning,putih, rasa pahit manis ada. Durian paling laris adalah durian Sekaya, itu antara klon lama dan durian paling baru diperkenalkan di sini adalah durian Lipan Bara,” jelasnya.

Jualan meningkat pada hari minggu

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Faizul Shukri Ausop, 47, yang menjual durian kampung di Kampung Kelantan berkata, dia mengambil stok buah daripada peraih dengan harga borong mengikut gred.

Menurutnya, bekalan buah diperolehi di sekitar kawasan Lenggong antaranya Kampung Jenalik, Kampung Kuak dan Kampung Kelantan.

Harga durian betul-betul ‘runtuh’ - Pembeli
Peniaga, Faizul Shukri Ausop, 47, menunjukkan buah durian jenis Kampung yang dijualnya ketika tinjauan MG Perak di Kampung Kelantan, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2024.

Dia berkata, harga yang dijual antara RM5 ke RM6 sekilogram bagi durian kampung gred A manakala RM4 untuk gred B dan IOI pula dijual antara RM15 ke RM18 mengikut gred.

“Selain durian kampung saya juga menjual IOI dan buah durian kahwin. Pada hari biasa, mampu menjual sehingga 100 kilogram (kg) sehari tetapi hasil jualan akan meningkat sehingga 300 kg sehari pada hari Jumaat hingga Ahad ,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasar lengang, peniaga mengeluh orang ramai takut berbelanja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI