Harga lantai belian padi RM1,500 memadai – LPP Perak

BAGAN SERAI – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak menyambut baik keputusan kerajaan yang menyelaraskan harga lantai belian padi RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.

Pengerusinya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya menyifatkan kadar itu memadai berdasarkan situasi semasa serta dalam memastikan kestabilan harga beras di pasaran.

Harga lantai belian padi RM1,500 memadai sham pesawah kestabilan harga beras pasaran padi kerajaan
Pengerusi Pertubuhan Peladang Perak, Datuk Sham Mat Sahat ketika sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi Negeri Perak Zon Kerian Tahun 2025 di Dewan Komuniti Bagan Serai, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 FEBRUARI 2025.

“Jika harga lantai dinaikkan terlalu tinggi, ia dikhuatiri akan menyebabkan pengilang menawarkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan bekalan padi.

“Sebelum ini, ketika ditetapkan pada harga lantai RM1,300, ada pengilang yang membeli lebih daripada harga itu, dan ini merosakkan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Negeri Perak Zon Kerian Tahun 2025 di Dewan Komuniti Bagan Serai, pada Isnin.

Ia disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta turut dihadiri Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Harga lantai belian padi RM1,500 memadai sham pesawah kestabilan harga beras pasaran padi kerajaan
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi Negeri Perak Zon Kerian Tahun 2025 di Dewan Komuniti Bagan Serai, pada Isnin. Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Perak, Datuk Sham Mat Sahat (tiga, kanan) dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman (kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 FEBRUARI 2025.

Dalam pada itu Sham berkata, bagaimanapun beliau yakin kerajaan akan sentiasa melakukan kajian dari semasa ke semasa berkenaan harga lantai belian padi berdasarkan kepada keperluan pesawah.

Kata beliau, selain daripada inisiatif itu, pesawah turut menerima manfaat lain daripada kerajaan termasuk Skim Subsidi Harga Padi serta bantuan tunai sementara menunggu padi dituai.

Tegas beliau, kerajaan juga kini sedang giat melakukan pemantauan bagi mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang dengan sengaja memanipulasi harga benih padi di pasaran.

“Jika ada bantahan (terhadap harga lantai belian padi), tidak perlu berdemonstrasi, sebaliknya salurkan ia mengikut saluran yang betul,” jelasnya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 pertan metrik berkuat kuasa 16 Februari.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan juga membuat keputusan untuk mengekalkan harga mekanisme beras putih tempatan pada kadar RM2.60 per kilogram.

Jelas beliau, kerajaan akan memperuntukkan kira-kira RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kenaikan harga lantai belian padi bangkit semangat pesawah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI