Harga minyak naik lebih 2 peratus

TOKYO – Harga niaga hadapan minyak melonjak lebih dua peratus pada permulaan sesi dagangan pertama sejak Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan langsung ke atas Iran, menimbulkan kebimbangan baharu terhadap prospek bekalan di rantau Timur Tengah yang kaya dengan minyak tetapi sedang bergolak.

Minyak mentah AS meningkat sebanyak AS$1.76 atau 2.38 peratus kepada AS$75.60 setong pada malam Ahad, manakala penanda aras global Brent naik AS$1.80 atau 2.34 peratus kepada AS$78.81 setong.

Brent sebelum itu melonjak 5.7 peratus mencecah AS$81 sebelum susut sedikit.

Presiden Donald Trump mengejutkan pasaran pada hari Sabtu dengan pengumuman Washington telah campur tangan secara langsung dalam konflik Iran-Israel dan melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan.

Pelabur kini menunggu reaksi Iran terhadap serangan AS yang belum pernah berlaku ini.

Menteri Luar Iran pada Ahad berkata, Republik Islam itu mempunyai “semua pilihan” untuk mempertahankan kedaulatannya.

Menurut S&P Global Platts, kenaikan awal harga minyak mungkin mereda jika Iran tidak bertindak balas.

Senario paling buruk bagi pasaran minyak ialah jika Iran cuba menutup Selat Hormuz, menurut penganalisis tenaga kerana kira-kira 20 juta tong minyak mentah sehari bersamaan 20% penggunaan global mengalir melalui selat itu pada 2024, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS.

Media rasmi Iran melaporkan Parlimen Iran menyokong penutupan selat tersebut, namun keputusan akhir terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara Iran.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberi amaran kepada Iran supaya tidak menutup selat itu kerana tindakan itu akan menjadi “bunuh diri ekonomi” kerana eksport Iran juga melalui laluan perairan tersebut, kata beliau.

“Kita ada pilihan untuk menangani perkara ini. Ia akan memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi negara lain berbanding kita. Ia akan menjadi satu peningkatan ketegangan besar yang akan memerlukan tindak balas bukan sahaja daripada kita, tetapi juga daripada pihak lain, kata Rubio kepada Fox News.

Iran menghasilkan 3.3 juta tong sehari (bpd) pada Mei, menurut laporan pasaran minyak bulanan OPEC pada Jun.

Ia mengeksport 1.84 juta bpd bulan lalu, dengan majoritinya dijual kepada China, menurut data Kpler.

Rubio menyeru China supaya menggunakan pengaruhnya bagi menghalang Tehran daripada menutup selat itu kerana separuh daripada import minyak mentah China melalui laut datang dari Teluk Parsi. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI