Harga telur dijangka naik 3 sen sebiji mulai Ogos jika kos pengeluaran kekal – FLFAM

MELAKA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur ayam meningkat sehingga tiga sen sebiji jika kos pengeluaran ketika ini masih kekal 38 sen sebiji selepas kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bermula 1 Ogos ini.

Timbalan Presidennya, Lee Yoon Yeau berkata, lebih 100 pengusaha ladang ternakan di seluruh negara yang mengeluarkan antara 33 hingga 35 juta telur sehari terpaksa berbuat demikian setelah kehilangan kadar subsidi lima sen sebiji yang dinikmati bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini.

Bagaimanapun jelasnya, jika kos pengeluaran menjadi lebih rendah sehingga 30 sen sebiji, harga telur di pasaran pada 1 Ogos mungkin akan menjadi jauh lebih murah antara 32 atau 33 sen sebiji.

Harga telur kini ditetapkan pada 42 sen (Gred A), 40 sen (Gred B) dan 38 sen (Gred C) sebiji.

“Harga kawalan telur sekarang lebih rendah daripada kita punya kos pengeluaran antara 38 hingga 42 sen untuk semua gred tapi sekarang kita masih okay kerana mendapat subsidi lima sen sebiji daripada kerajaan.

“Tapi kalau kos pengeluaran ini masih kekal sehingga 1 Ogos, pihak industi terpaksa naikkan harga dua hingga tiga sen sebiji atau mungkin juga lebih murah jika pada masa itu kos kita semakin rendah bergantung kepada harga dunia dedak kacang soya dan jagung yang diimport sepenuhnya.

“Tapi bukanlah bermakna kita yang kawal harga ini kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai formula yang memastikan kita tidak mengaut keuntungan melampau,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pada 30 April lalu, KPKM memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa 1 Mei.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.

Mengulas lanjut Yoon Yeau berkata, jika berlaku peningkatan harga selepas subsidi ditamatkan, pihak industri khususnya Melaka sebagai pengeluar terbesar telur ayam negara, iaitu 11 juta sehari komited bersama KPKM dan KPDN untuk mengurangkan beban rakyat.

“Ini termasuklah pihak industri akan mempertingkatkan bekalan telur gred C atau D atau disebut ‘gred khas’ yang hanya disasarkan kepada rakyat golongan B40 dan dijual di Agro Madani dan Jualan Rahmah.

“Perkara ini kita sudah bincang dalam dialog sebelum ini dan pihak industri akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dari semasa ke semasa untuk memastikan rakyat tidak terus terbeban,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI