KUALA KANGSAR – Ketenangan Sungai Perak bertukar meriah dengan deruan enjin 31 bot nelayan yang dihiasi Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Perak dalam acara Konvoi Bot Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Mukim Chegar Galah, pada Selasa.
Kesemua bot yang dipasang bendera pelbagai saiz itu berarak sejauh kira-kira 12 kilometer dari Jeti Awam Program myKomuniti Perikanan (myKP) Kampung Chegar Galah ke Jeti Kampung Jamuan.
Seramai 90 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan pasukan beruniform diberi taklimat keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum konvoi dilepaskan pada jam 9.45 pagi.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata, acara tersebut dianjurkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.
“Sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sauk, dan kali ini kita menganjurkan konvoi bot sempena Hari Malaysia.
“Peserta turut melintasi dua jambatan ikonik dan bersejarah di Kuala Kangsar iaitu Jambatan Victoria serta Jambatan Sultan Iskandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai dan menyempurnakan majlis penutup Konvoi Bot Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Mukim Chegar Galah, di Kampung Jamuan, pada Selasa.
Sepanjang acara, semua 90 peserta menyusuri laluan sekitar 12 kilometer (km) di Sungai Perak dengan diiringi bot pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Mengulas lanjut, Mohd Ariff berkata, penganjuran itu adalah hasil kerjasama pejabat beliau dengan Pejabat Penghulu Mukim Chegar Galah serta Mukim Kota Lama Kiri.
Kata beliau acara itu turut mendapat sambutan baik daripada orang ramai yang hadir menyaksikan konvoi dari tebing sungai.
Jelas Mohd Ariff, beliau tidak menolak kemungkinan aktiviti seumpama itu diteruskan pada masa hadapan dengan penganjuran acara berakit atau berkayak di Sungai Perak khususnya di kawasan DUN Chenderoh.
“Aktiviti sukan air amat sinonim dengan DUN Chenderoh kerana Sungai Perak terletak di tengah-tengah kawasan ini.
“Malah sebelum ini pernah diadakan acara berkayak dari Kem Rekreasi Intan Suraya di Sauk ke Kampung Jamuan dengan jarak perjalanan lebih 20 kilometer,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
133 bot nelayan berhias meriahkan Hari Malaysia, lonjak agropelancongan