IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh serta Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.
Majlis yang dihadiri lebih 2,000 jemaah itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil.
Ia kemudian disusuli dengan Khutbah Jumaat bertajuk ‘Hargai Jasa dan Pengorbanan Pahlawan Negara’ yang disampaikan khatib, Ketua Polis Balai Sentral Ipoh, Assistant Superintendent (ASP) Mohamad Sahran Termizi.
Saarani dan para jemaah lain seterusnya menunaikan Solat Jumaat yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh.
Terdahulu, antara perkara yang digariskan dalam khutbah adalah penghargaan Umat Islam di negeri ini atas khidmat anggota keselamatan yang berkorban demi raja dan negara.
Di samping itu, khatib turut memaklumkan, akan dipertimbangkan untuk sebahagian daripada kutipan masjid pada Jumaat bagi disumbangkan kepada Tabung Pahlawan.
Sambutan Hari Pahlawan yang disambit pada 31 Julai setiap tahun diadakan sebagai menghargai jasa anggota keselamatan dalam memelihara keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara.
Tarikh berkenaan diambil sempena tarikh pengisytiharan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas Sambutan Hari TLDM Ke-90