Harimau dilanggar lori: Polis minta pemandu tampil

IPOH – Polis meminta pemandu lori yang terbabit dalam insiden seekor harimau belang mati dilanggar di Kilometer  67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini, Sabtu lalu, tampil membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan pemandu berkenaan susulan laporan berhubung insiden itu oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Kes ini disiasat oleh PERHILITAN dan pihak polis memberi kerjasama untuk menjejaki suspek (pemandu lori tersebut).

“Tetapi, setakat ini kita belum dapat mengenal pasti pihak yang terlibat kerana pemandu lori itu tidak tampil membuat sebarang laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Isnin.

Tambah Zulkafli, pihak polis kini bersedia untuk tampil membantu PERHILITAN bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk berhubung insiden mencuri bahagian haiwan berkenaan.

Media pada Ahad melaporkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, empat batang taring, kuku pada kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit kepala haiwan yang dilindungi itu hilang dipercayai akibat dicuri.

Mana-mana individu yang mengambil bahagian tertentu dari bangkai harimau berkenaan diminta menyerahkan segera kepada PERHILITAN bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646).

Pada Ahad, media melaporkan, seekor harimau belang mati dengan sebahagian badannya hancur digilis sebuah lori dalam kejadian berhampiran kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa sekitar jam 5.30 pagi.

Dalam rakaman video tular itu memaparkan seekor harimau terperosok di bawah lori, dengan beberapa anggota termasuk kepala yang terpisah serta bertaburan di atas jalan raya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perhilitan kesan pencuri bahagian bangkai harimau belang mati dilanggar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI