SUNGAI SIPUT – Penternak lembu, Aidil Hazwan Bokhari, 34, kini boleh menarik nafas lega selepas haiwan liar yang menyerang ternakannya di Felda Sungai Lasah, di sini, berjaya ditangkap pada Jumaat malam.
Menurutnya, dia amat bersyukur selepas menerima berita kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap seekor harimau kumbang di lokasi anak lembu miliknya mati diserang karnivor berkenaan.
“Semalam masa lepaskan lembu saya perasan ada seekor anak lembu hilang dan tak lama lepas itu bangkainya saya jumpa dalam ladang kelapa sawit dalam keadaan tidak sempurna.
“Selepas buat laporan, Perhilitan terus pasang perangkap dan bangkai anak lembu itu dijadikan umpan. Hasilnya malam tadi (Jumaat) harimau kumbang masuk perangkap,” katanya.
Jelas Aidil Hazwan, meskipun ini bukan pertama kali serangan berkenaan berlaku ia sedikit sebanyak memberi kelegaan apabila harimau kumbang tersebut berjaya ditangkap.
“Memang serangan harimau sering berlaku di kawasan ini kerana beberapa penternak lain pernah mengalaminya dan binatang buas ini memburu haiwan ternakan yang disimpan di dalam kawasan kandang.
“Sepanjang lebih 20 tahun keluarga kami mengusahakan ternakan lembu sudah beberapa kali haiwan yang dibela kami menjadi mangsa haiwan liar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan mengenai serangan haiwan liar tersebut pada pagi Jumaat sebelum memasang perangkap pada sebelah petang.
“Hasilnya seekor harimau kumbang betina dengan anggaran usia empat hingga lima tahun berjaya ditangkap.
“Harimau ini kemudiannya telah ditranslokasi ke kawasan lain,” katanya di sini pada Sabtu. -MG Perak


