Hasil pertama projek perintis tanaman bawang berjaya dituai

TANJUNG MALIM – Hasil tuaian pertama projek perintis tanaman bawang negara di Kampung Baru Kuala Bikam di tanah seluas 1 hektar di sini berjaya memberikan hasil pengeluaran sebanyak 2.3 tan pada hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, hasil tuaian pada hari ini melibatkan kawasan fasa satu yang ditanam menggunakan 1.5 tan benih varieti bawang merah BAW-1 pada 24 Januari lalu.

Menurutnya, tanaman rintis ini berjaya menghasilkan bawang 100 peratus dari negara kita sekali gus melakarkan satu sejarah dalam bidang pertanian di Malaysia.

“Benih itu dikeluarkan dan dihasilkan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan ditanam oleh Jabatan Pertanian. Hari ini kita nampak projek ini benar-benar berjaya,” katanya.

Hasil pertama projek perintis tanaman bawang di Perak berjaya dituai
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (tiga dari kanan) melihat hasil tuaian pertama projek perintis bawang yang digantung di rumah pengeringan di Kuala Bikam, Bidor. Foto ROSDALILAH ZAHARI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Tuaian Mega Projek Rintis Tanaman Bawang Kuala Bikam di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Christopher John Biai; Pengarah Pusat Penyelidikan Horikultur MARDI, Dr Zulhazmi Sayuti dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Dalam perkembangan sama, Arthur Jospeh berkata, susulan kejayaan ini, secara tidak langsung membuka peluang kepada Perak untuk menjadi hab pengeluaran bawang di negara ini.

“Susulan kejayaan tersebut, kita ada perancangan untuk menambahkan lagi keluasan tanaman bawang di sini, bagi kawasan Sungkai.

Hasil pertama projek perintis tanaman bawang di Perak berjaya dituai
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) menunjukkan hasil tuaian pertama projek perintis bawang di Perak di Kuala Bikam, Bidor. Foto ROSDALILAH ZAHARI

“Mudah-mudahan kita dapat menambahkan lagi ke fasa kedua hingga ke fasa ketiga, di mana dalam fasa ketiga kita akan buat ujian untuk varieti BAW-2 dan selepas itu kita akan menambahkan lagi empat hektar di kawasan sini.

“Selepas itu kita ada perancangan lagi untuk menambah penanaman bawang di kawasan Kinta seluas empat hektar menjadikan jumlah keseluruhan tanaman bawang di negeri ini adalah seluas lapan hektar,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, KPKM telah mengenal pasti enam negeri lain termasuk Perak iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan untuk menjalankan projek penanaman bawang.

“Semua ini adalah dalam perancangan dan sasaran kementerian untuk kita mencapai kadar sara diri bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 dengan tanaman seluas 1,400 hektar,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bekalan ayam, daging sempena Aidilfitri mencukupi – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI