IPOH – Menteri Besar Perak menegaskan bahawa tidak semua aduan rakyat dapat diselesaikan pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) terutama apabila ia melibatkan sebarang perkara sensitif.
Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun kerajaan negeri terbuka menerima sebarang permasalahan rakyat namun, sebagai Menteri Besar tidak semua perkara boleh diluluskan seperti dalam hal yang membabitkan status Tanah Rizab Melayu.
Namun katanya, setiap aduan lain yang diterima ada kalanya memerlukan sedikit masa untuk diteliti kerana akan diperhalusi dengan cermat oleh agensi berkaitan.
“Ada setengah orang salah faham, apabila jumpa menteri besar dan menteri besar tandatangan sahaja, maka semua boleh diuruskan, itu tidak benar.
“Kalau tanah itu Tanah Rizab Melayu contohnya, tak boleh tukar, maka tak boleh kerana saya juga terikat dengan peraturan negeri dan Perlembagaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada HBP Siri Ketujuh 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh, pada Isnin.
Mengulas tentang program Saarani menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang hadir menyokong penganjuran program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2022.
“Bagi mereka yang permintaannya dapat kita tunaikan, kita ucapkan tahniah. Tetapi bagi yang tidak dapat dipenuhi kerana melibatkan perkara di luar keupayaan kita, saya mohon maaf,” katanya lagi.
Bagi penganjuran HBP Siri Ketujuh Saarani berkata, sebanyak 167 aduan diterima pihaknya meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Kata beliau, sehingga siri keenam penganjuran, sebanyak 773 aduan diterima, dengan 91 peratus aduan selesai, manakala selebihnya masih dalam tindakan.
“HBP kali ini menampilkan 106 kaunter khidmat pelanggan, lima kaunter bergerak serta 10 reruai pameran.
“Turut disediakan Jualan Murah dan Jualan Rahmah bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dan dalam masa yang sama membantu meringankan kos sara hidup,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
HBP diteruskan demi rakyat meskipun kehadiran ‘merosot’ – MB