IPOH – Kerajaan Negeri Perak berjaya menyelesaikan 1,011 daripada 1,119 aduan dengan kadar sebanyak 90.35 peratus menerusi lapan siri program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) yang diadakan di seluruh negeri sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada program HBP siri pertama tahun ini, sebanyak 216 aduan yang diterima melibatkan pelbagai isu rakyat.
“Hari ini saya bersama dengan barisan pentadbiran kerajaan negeri meneruskan iltizam untuk mendekati rakyat secara langsung melalui penganjuran program Mesra HBP.
“Penganjuran HBP ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa mudah diakses serta responsif terhadap keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang dan juga lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Program Mesra HBP Siri Pertama 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.
Katanya, sebanyak 96 kaunter perkhidmatan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri disediakan pada hari ini termasuk dua kaunter bergerak selain daripada pengisian tambahan seperti jualan murah dan jualan rahmah yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
720 aduan berjaya diselesaikan, HBP diteruskan tahun hadapan


