GERIK – Seorang lelaki Orang Asli diterbangkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini selepas mengalami kecederaan akibat dipatuk ular berbisa sewaktu mencari hasil hutan bersama rakannya di Pos Kemar, Kampung Agek dekat sini, semalam.
Keadaan itu mengakibatkan mangsa, Sali Seruliou, 48, sukar untuk bergerak dan memerlukan bantuan segera untuk keluar daripada lokasi tersebut bagi mendapatkan rawatan.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pos Kemar sekitar jam 4.05 petang semalam selepas rakan mangsa memaklumkan perkara tersebut bagi mendapat bantuan.
Menurutnya, ketua operasi bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik serta polis telah bergerak ke Jeti Awam Pos Kemar pada jam 5.30 petang semalam dan berkumpul bersama agensi bantuan yang lain sebelum masuk ke dalam hutan untuk ke lokasi.
“Pasukan penyelamat dengan bantuan malim gunung dan orang awam mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan untuk sampai ke lokasi mangsa yang dianggarkan sejauh 40 kilometer disebabkan perlu mendaki bukit yang sukar dan menempuh hutan belukar.
“Ketua operasi dan anggota mula bergerak pada jam 1.45 pagi tadi dan tiba di lokasi mangsa pada jam 11.30 pagi.

“Mangsa kemudiannya telah diberi rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan mengikut pesanan dari doktor di Pos Kemar dengan memberi ‘pain killer’ dan meminta mangsa untuk tidak bergerak terlalu banyak.
“Ketua Operasi mengarahkan anggota mewujudkan kawasan ‘landing point’ untuk helikopter menyelamatkan mangsa yang mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, lima anggota bomba yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut mengalami kecederaan ringan.
“Anggota terbabit mengalami kecederaan disebabkan jarak perjalanan yang jauh serta bentuk muka bumi yang mencabar untuk sampai ke lokasi mangsa ditemui dan mereka di dihantar ke Pos Kemar untuk rawatan dan pengambilan barangan logistik.
“Mangsa dan anggota yang lain kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik melalui Lapangan Terbang Gerik untuk menerima rawatan lanjut,“ jelasnya.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 6 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


