IPOH – Perasaan hilang sabar akibat rasa dikongkong dipercayai menjadi punca kepada pembunuhan seorang wanita yang ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh, di sini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, hasil siasatan awal polis mempercayai mangsa berusia 54 tahun telah ditumbuk berkali-kali oleh anak saudaranya berusia 21 tahun.
“Suspek dikatakan telah melepaskan geram dengan menumbuk mangsa berkali-kali sehingga wanita itu terjatuh dari tangga di rumah berkenaan.
“Susulan itu mungkin mangsa telah tidak sedarkan diri, dan suspek mengurung mangsa di sebuah bilik di rumah tersebut kira-kira selama empat hari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Isnin.
Zulkafli memberitahu, adik mangsa ada bertanyakan kepada lelaki itu tentang keberadaan wanita itu, namun suspek mendakwa mangsa telah berkurung dalam bilik.
Ujar beliau, ia terbongkar selepas adik mangsa terhidu bau busuk daripada luar bilik tersebut sebelum akhirnya menemukan wanita itu.
“Berdasarkan siasatan, suspek dan mangsa tinggal berdua di rumah berkenaan. Dan anak saudaranya itu mengaku ada melakukan kekerasan pada wanita itu,” katanya lagi.
Tambah beliau, proses bedah siasat masih dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Majistret Mahkamah Ipoh, S Punitha membenarkan suspek direman lima hari sehingga Jumaat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Pada Ahad media melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh ibu saudaranya di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh.
Mangsa ditemukan dalam keadaan hampir reput dan membusuk dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan seorang wanita yang tidak sedarkan diri pada jam 8.30 pagi Ahad. – MG Perak
Artikel Berkaitan: