‘Himpunan Turun Anwar hanya untuk selamatkan kluster mahkamah’ – Kor Ming

IPOH – Timbalan Pengerusi DAP, Kor Ming menyifatkan penganjuran Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur bukan untuk rakyat, sebaliknya bersifat menyelamatkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendakwa, rakyat turut diperalatkan untuk menyertai himpunan berkenaan selepas terdapat dalam kalangan peserta tidak mampu menjawab soalan pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seperti dalam video tular di media sosial.

“Saya hendak mempersoalkan apakah objektif sebenar perhimpunan semalam kerana ia jelas bukan untuk rakyat, sebaliknya hanya untuk selamatkan kluster mahkamah PN

“Semua orang tahu menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melarikan diri kerana diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu juga anak Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dituduh di mahkamah berkaitan kes subsidi minyak masak.

“Oleh itu, perhimpunan semalam diadakan bukan untuk rakyat, bukan untuk negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Canning Garden di Taman Canning, dekat sini, pada Ahad.

Himpunan Turun Anwar ✅ Related Keyphrases: kluster mahkamah PN, Kor Ming DAP, kritikan pembangkang, isu politik semasa, tindakan terhadap pemimpin PN, kerajaan MADANI, demokrasi Malaysia, Anwar Ibrahim Perdana Menteri,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada Majlis Perasmian Taman Rekreasi Madani dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Majlis Bandaraya Ipoh dan Kuala Lumpur Kepong Berhad di Taman Rekreasi Canning, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 JULAI 2025.

Pada Sabtu, media melaporkan pihak pembangkang menganjurkan Himpunan Turun Anwar di sekitar Dataran Merdeka yang menyasarkan Anwar supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan dilaporkan berkata, himpunan yang disertai kira-kira 18,000 peserta itu berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Pada masa sama, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyifatkan penganjuran berkenaan sebagai kejayaan Kerajaan MADANI dalam menghormati sistem demokrasi negara.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila agensi dan pasukan keselamatan kerajaan diarahkan untuk memberikan bantuan yang sebaiknya kepada peserta perhimpunan.

“Jika perhimpunan seperti itu diadakan ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah pasti pasukan dan jentera Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sudah menunggu.

“Peserta perhimpunan akan dikenakan gas pemedih mata, disimbah air malah akan ada yang ditangkap atau ditahan pihak berkuasa.

“Jika dibandingkan ia ibarat langit dengan bumi apabila kita menyambut kritikan bukan dengan kekerasan, sebaliknya dengan budi bahasa yang baik,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Kor Ming berkata, walaupun kerajaan benar-benar meraikan perbezaan pendapat semua pihak, namun soal kestabilan serta kemakmuran negara harus diberi keutamaan.

Beliau memberitahu, rakyat juga tidak harus terus-menerus dibuai dengan sentimen politik yang tidak membina yang akhirnya akan menjejaskan semua pihak.

“Sejak Anwar naik (jadi Perdana Menteri), yang naik adalah gaji penjawat awam, harga getah, kelapa sawit, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi rakyat dan sebagainya. Apa yang turun? Harga minyak petrol.

“Malah menteri yang berada dalam kerajaan ketika ini tidak terpalit dengan sebarang skandal besar dan isu rasuah. Ketika ini kerajaan komited dalam membangunkan negara,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan berakhir dengan aman tanpa kekacauan – Polis

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI