Himpunan Turun Anwar: ‘Pekerja pembersihan kutip 20 tan sampah sampai larut malam’

IPOH – Pekerja pembersihan terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga jam 3 pagi bagi membersihkan beberapa lokasi yang terlibat dengan penganjuran Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, malah berdasarkan maklumat yang diterima daripada agensi pembersihan awam, sebanyak 20 tan sampah telah ditinggalkan merata-rata oleh peserta perhimpunan berkenaan.

“Saya terpaksa mengarahkan seluruh pasukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melakukan kerja-kerja pembersihan, dan mereka lakukan hingga larut malam.

“Saya tidak berkompromi dalam soal kebersihan, tambahan pula kawasan himpunan yang terlibat adalah kawasan tumpuan pelancong.

“Kita tidak mahu imej negara tercemar akibat pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Canning Garden di Taman Canning, dekat sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir peserta perhimpunan pembangkang yang membuang sampah merata-rata di lokasi terbabit.

“Sampah-sarap yang ditinggalkan telah berjaya kita bersihkan, namun sebenarnya ia adalah tanggungjawab penganjur untuk pastikan lokasi perhimpunan itu bersih.

“Kita mahu perhimpunan itu bukan sahaja aman, malah ia tertib termasuk dalam soal penjagaan kebersihan awam. Ini adalah prinsip yang wajib didukung bersama,” ujarnya.

Pada Sabtu, media melaporkan pihak pembangkang menganjurkan Himpunan Turun Anwar di sekitar Dataran Merdeka yang menyasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.

Polis Kuala Lumpur menganggarkan 18,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan.

Terdahulu dalam perkembangan lain, Kor Ming menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara KLK dan MBI terhadap penyelenggaraan tujuh Taman Rekreasi MADANI bagi tempoh dua tahun.

Taman Rekreasi MADANI yang terlibat adalah di Woodland Park 1 dan 2 di Tambun; Jalan Permai-Jalan Edward Moreira; Bandar Baru Putra; Westpool Park; Pengkalan Barat, dan First Garden.

MoU berkenaan disempurnakan antara Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

18,000 hadir Himpunan Turun Anwar – Polis

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI