IPOH – Semua pihak diminta menghormati serta menerima kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini berhubung pengampunan mana-mana banduan yang diberi keampunan atau pengurangan hukuman.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, segala perkara yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Itu (Kenyataan) yang dikeluarkan Istana Negara adalah mengikut lunas undang-undang dan saya harap rakyat Malaysia akan mengikuti arahan tersebut.
“Segala pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah dari segi undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi kalau ada apa-apa rayuan, ikut lunas tersebut,” katanya ketika ditemui di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, suka ataupun tidak semua yang dinyatakan dalam kenyataan itu adalah berlandaskan undang-undang dan rakyat perlu menghormati YDPA.
“Adalah yang maha mustahak kita perlu terima pandangan terbabit. Suka atau tidak, saya mesti menghormati raja saya, seperti yang termaktub dalam prinsip Rukun Negara.
“Pandangan YDPA adalah yang mustahak lebih-lebih mengikut lunas undang-undang dan jangan kita menghalang perkara itu,” jelasnya.
Hari ini, Istana Negara memaklumkan YDPA mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Ia adalah selaras dengan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” ujar kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal Titah Adendum untuk membolehkan bekas Presiden UMNO itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Terdahulu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang terjejas di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini, pada 1 Disember lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: