Hospital Seri Iskandar beroperasi 11 Disember 2024

PARIT – Hospital Seri Iskandar bakal memulakan operasinya secara rasmi pada 11 Disember ini bagi mengantikan Hospital Changkat Melintang yang telah dibuka sejak 1971.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembangunan Hospital Seri Iskandar yang menelan kos RM153.18 juta di atas tanah seluas 18.9 ekar itu, bakal memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Daerah Perak Tengah dan kawasan sekitarnya.

Menurut beliau, Hospital Seri Iskandar dibangunkan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan peralatan yang lebih baik, berkualiti dan selesa kepada penduduk Seri Iskandar serta kawasan sekitar.

“Hospital Seri Iskandar akan meneruskan peranan Hospital Changkat Melintang sebagai Non-Lead Hospital, yang mana perkhidmatan kepakaran disalurkan dari Hospital Seri Manjung sebagai Lead Hospital.

“Melalui pendekatan ini, Hospital Seri Iskandar akan mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran secara kluster,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar dan Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung di sini, pada Khamis.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, sebanyak 516 penjawatan baharu telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi ditempatkan di Hospital Seri Iskandar.

Jelas beliau, daripada jumlah berkenaan sebanyak 22 jawatan merupakan pegawai perubatan diikuti penolong pegawai perubatan (97), jururawat (137) dan skim perkhidmatan lain (260).

Katanya lagi, Hospital Seri Iskandar bakal menawarkan perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran yang disediakan melalui lawatan berkala termasuk perubatan kecemasan; perubatan am dan pembedahan am; Pediatrik; Psikiatri; Ortopedik Obstetrik dan Ginekologi serta Radiologi.

“Bagi mengoptimumkan hospital baharu, KKM merancang untuk meningkatkan kekerapan lawatan pakar dalam semua bidang perubatan.

“Namun ia perlu mengimbangi keperluan perkhidmatan dan permintaan antara Hospital Seri Manjung dan hospital ini, agar perkhidmatan di hospital utama tidak terjejas,” katanya.

Tambah Dzulkefly lagi, seorang Pakar Perubatan Am dan seorang Pakar Klinikal Kecemasan juga akan ditempatkan di Hospital Seri Iskandar secara residen.

“Melalui pendekatan ini, isu kadar penggunaan katil (BOR) yang rendah di Hospital Changkat Melintang sebelum ini (44 peratus sahaja) akan dapat diatasi (tidak ramai pesakit perlu dirujuk ke Lead Hospital),” katanya.

Berjaya disiapkan dalam tempoh tiga tahun Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek ini telah dikeluarkan pada 28 Oktober 2024 mengikut jadual tarikh siap asal.

Skop penyiapan projek HSI ini merangkumi pembinaan Blok Utama Hospital tiga tingkat berkapasiti 76 katil, Blok Mekanikal dan Elektrikal, tempat letak kereta berbumbung, blok sokongan seperti pondok pengawal, rumah sampah domestik, klinikal serta garaj ambulan.

Pelaksanaan pembinaan projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70 peratus. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI