Huawei bina bakat digital UPSI menerusi pensijilan profesional

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei) melaksanakan program latihan dan pensijilan profesional kepada staf serta pelajar di universiti berkenaan.

Sebagai permulaan, seramai 15 staf termasuk pensyarah serta 87 orang pelajar daripada Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (META) akan diberi latihan bagi pensijilan Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, jalinan kerjasama ini secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan keboleh pasaran graduan serta kompetensi staf teknikal di universiti tersebut.

“Program ini dapat memupuk bakat ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan membantu pelajar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan serta membantu mencipta penghubung antara pendidikan akademik dan industri,“ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Digital, Dr Megat Azrin Ahmad berkata, pelaksanaan program ini selaras dengan inisiatif MyDIGITAL menerusi dua teras strategik iaitu membina bakat digital yang tangkas dan kompeten serta mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

“Program ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha membangunkan bakat ICT tempatan serta menggalakkan pembangunan serantau dan penyertaan dalam komuniti digital,“ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Sektor Awam Huawei, Perniagaan Awan Malaysia, Ismanita Ismail amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama UPSI dalam menyediakan pendidikan kepada generasi semasa bagi membolehkan mereka menjadi lebih bersedia untuk menghadapi pembangunan ICT.

Menurutnya, Huawei komited untuk menyediakan sistem pembangunan bakat dan piawaian pensijilan, membangunkan profesional ICT baharu dalam era digital dan membina ekosistem bakat ICT.

“Program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada pensijilan pengkomputeran awan yang terdapat di Huawei.

“Dalam tempoh tiga tahun, kita berharap dapat menyasarkan lebih ramai pelajar IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan kakitangan sektor awam yang akan menerima manfaat daripada program latihan pensijilan Huawei,” jelasnya.

Beliau berkata, program latihan dan pembangunan bakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan industri semasa tetapi meningkatkan potensi diri staf dan pelajar dalam mendalami kemahiran baharu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI terima perakuan pendaftaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI