‘Hubungan saya dengan Zainol masih baik’ -Faizal Azumu

TAPAH – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan bahawa tiada sebarang masalah dalam hubungan beliau dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berhubung isu pertukaran kedudukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu berkata, permohonan menukar tempat duduk di DUN yang dikemukakan kepada Pejabat Speaker dibuat susulan peletakan jawatan Zainol Fadzi sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak sebelum ini.

Katanya, beliau mengenali Zainol Fadzi sebagai rakan politik yang akrab dan hubungan baik antara mereka telah terjalin sejak sekian lama.

“Kalau ada di luar sana mengatakan kami ada masalah, saya nak katakan secara jelas bahawa beliau adalah sahabat karib saya.

“Kami tidak bermasalah. Mungkin ada masalah dari segi ‘miscommunication’ (salah faham dalam komunikasi) ataupun ‘lack of communication’ (kurang berkomunikasi). Tetapi kalau nak katakan kami bermasalah, ia tidak

“Kami berkawan sekian lama dan akan terus bekerjasama dengan baik untuk memastikan PN dan BERSATU dapat kembali ke pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ceramah Mega PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa; serta Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria.

Terdahulu, media melaporkan bahawa PN telah menghantar surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak untuk menukar kedudukan dua ADUN BERSATU, iaitu ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan menerima surat permohonan itu pada 16 April, yang ditandatangani oleh Ahmad Faizal sendiri.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden BERSATU memaklumkan bahawa Pejabat Speaker telah menolak permohonan tersebut.

Kata Ahmad Faizal, beliau menerima keputusan itu dengan baik kerana penetapan tempat duduk ADUN adalah di bawah bidang kuasa penuh Speaker DUN.

“(Permohonan untuk menukar kedudukan dalam DUN adalah perkara biasa apabila berlaku sebarang perubahan dalam kepimpinan baik daripada BERSATU mahupun PN Perak.

“Namun jika Pejabat Speaker DUN menolak permohonan saya itu, saya menerima dengan baik. Tetapi peranan tentang yang akan dimainkan (Zainol Fadzi) itu akan diputuskan oleh pihak parti sendiri,” katanya lagi.

Untuk rekod, Nadziruddin Mohamed baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha BERSATU Perak bagi menggantikan Zainol Fadzi, yang meletakkan jawatan itu pada November lalu selepas memenangi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dalam pemilihan parti. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:


DUN Perak: Razman digantung enam bulan serta-merta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI