PASIR SALAK – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hubungan parti berkenaan dengan MIC di negeri ini berada dalam keadaan baik.
Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, pihaknya tidak mendengar khabar bahawa MIC Perak bakal meninggalkan BN seperti mana yang berlaku di beberapa negeri ketika ini.
“Saya belum dengar (MIC Perak mahu keluar BN). Di Kedah dia orang sudah buat konvensyen dan diputuskan.
“Tapi untuk makluman, Pengerusi Perhubungan MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy dan juga pimpinan MIC yang lain tak ada masalah dengan saya. Mereka sentiasa berhubung dengan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030, Daerah Hilir Perak Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Permatang, Sungai Manik, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani juga urut memaklumkan bahawa UMNO tidak pernah meminggirkan rakan komponen parti berkenaan di Perak termasuklah MIC.
Menurut beliau, beberapa pemimpin MIC turut dilantik di dalam syarikat berkaitan kerajaan serta sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Seperti saya sebutkan sebelum ini, MIC walaupun dia tak jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), tapi ada seorang wakil dia duduk dalam lembaga pengarah LAP (Lembaga Air Perak).
“Ada juga 14 orang pemimpin MIC peringkat bahagian yang menjadi ahli majlis perbandaran dan majlis daerah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa MIC Kedah telah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.
Bagaimanapun, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh berkata, keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti itu. -MG Perak