GERIK – Cuaca panas dan kering dipercayai berlakunya kebakaran hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui di sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.27 tengah hari tadi.
Menurutnya, setibanya jentera dilokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan lalang di tepi jalan dan hutan di bukit setinggi 700 meter dengan anggaran keluasan empat hektar.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.16 petang dengan hanya sisa-sisa kecil api di atas bukit dengan operasi pemadaman dilakukan menggunakan pancutan air dari jentera tangki air bomba serta pam racun dan pemerap api,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, susulan cuaca panas dan kering serta keadaan berangin menyebabkan api marak dengan cepat.
“Kebakaran tersebut melibatkan lalang, daun dan kayu kering namun ia tidak melibatkan pokok-pokok kayu yang besar kerana corak kebakaran ini hanya melibatkan kebakaran pada permukaan hutan atau belukar.
Katanya, bomba masih membuat pemantauan di kawasan sekitar pada malam ini secara berkala bagi memastikan sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan tiada lagi sumber nyalaan yang boleh menyebabkan kemerebakan semula.
“Operasi pemadaman ditangguhkan pada jam 7 petang dan akan disambung semula pada esok pagi namun operasi pemantauan oleh anggota di lokasi masih lagi diteruskan bagi memastikan keadaan selamat dan tiada kemerebakan,” jelasnya. – MG Perak
[…] Hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau terbakar […]