Ibnu Rasyeed dipilih Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang

TAIPING – Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ibnu Rasyeed Mat Isa dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang baharu selepas menewaskan Mohd Syaimein Rosli.

Beliau meraih 59 undi berbanding pesaingnya Mohd Syaimein 35 undi daripada 94 perwakilan yang mengundi dalam Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang diadakan pada Ahad.

Ibnu Rasyeed berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk menyatukan semula ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian dan meneruskan usaha mendekati pengundi muda.

“Yang penting kita nak kuatkan balik ukhuwah bersama ahli di peringkat cawangan-cawangan, jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian dan kita nak supaya apa yang lepas itu lepas, kita fokus ke hadapan kerana kita nak hadapi pilihan raya tak lama.

“Apabila kita kuat, kita bersatu, insya-Allah benda itu lebih mudah. Jadi kita nak target supaya bagaimana golongan muda dapat bersama UMNO,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan berusaha menambah cawangan Pemuda UMNO daripada 33 kepada 50 seperti mana dihasratkan Ketua UMNO Bahagian.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie yang hadir pada pemilihan tersebut berkata, pemilihan semula Ketua dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang dilaksanakan susulan berlaku salah faham di peringkat dalam sayap pemuda UMNO itu.

Menurutnya, susulan itu dua AJK Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang menawarkan diri bertanding menggantikan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu sebelum ini, Mohamad Adri Adha Mohamad.

“Bagi saya selepas pemilihan ini adalah nak menyatukan balik keluarga, sudah tentu bila wujud krisis, akan datang peluang dan ini harus diambil untuk menyatukan keluarga ini dan membawa bahtera ini terus ke depan.

“Mereka mempunyai tugas yang besar dalam tempoh dua tahun mendatang untuk memastikan bahawasanya sokongan orang muda terutama kepada UMNO dan Barisan Nasional ini meningkat,” katanya.

Oktober lalu media melaporkan Pemuda Umno Bukit Gantang didakwa ‘lumpuh’ apabila hampir semua AJK meletak jawatan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi Mohamad Adri Adha. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiada istilah Pemuda UMNO Bukit Gantang ‘lumpuh’ – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI